PKNS sasar capai jualan RM1 bilion tahun depan

PKNS sasar capai jualan RM1 bilion tahun depan

Md Kamarzan (kanan) merasmikan Discover PKNS@Selangor Cyber Valley di sini.

Md Kamarzan (kanan) merasmikan Discover PKNS@Selangor Cyber Valley di sini.

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan untuk mencapai jumlah jualan RM1 bilion pada tahun depan bagi projek perumahan dan perindustrian.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) PKNS, Md Kamarzan Md Rais berkata, sasaran itu dapat dicapai menerusi 15 projek di empat kawasan iaitu di Selangor Cyber Valley, Cyberjaya, Antara Gapi di Serendah, Kota Puteri di Rawang dan Bandar Sierra Alam di Shah Alam.

“Tahun ini PKNS sasar RM1 bilion tetapi disebabkan ekonomi perlahan, setakat ini kita hanya capai jualan sebanyak RM600 juta dan kita harap ekonomi tahun depan bertambah baik dan kita dapat lancarkan projek-projek telah dirancang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Discover PKNS@Selangor Cyber Valley di sini.

Kempen Discover PKNS 2023 di Bandar Baru Bangi itu juga mencapai matlamat penganjurannya apabila orang ramai memenuhi tapak program bagi menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan.

Acara Discover PKNS @Selangor Cyber Valley menyediakan aktiviti berbentuk karnival sebagai usaha PKNS mendekati orang ramai khususnya di sekitar Bangi, Kajang, Putrajaya dan Selangor Cyber Valley.

Md Kamarzan berkata, objektif utamanya ialah untuk menarik penglibatan orang ramai atau ‘public engagement’ menerusi aktiviti-aktiviti yang melibatkan komuniti di sekitar Bangi.

Md Kamarzan turut memandu 'super car' yang dipamerkan di tapak program berlangsung selama dua hari itu.

Md Kamarzan turut memandu ‘super car’ yang dipamerkan di tapak program berlangsung selama dua hari itu.

“Kempen Discover kali ini sangat menarik kerana pengunjung berpeluang melihat pameran dan pertunjukan ‘super car’ yang menampilkan 17 kenderaan antaranya McLaren 570s, Audi R8 dan Mustang.

“Turut diadakan pertandingan e-sukan, iaitu mobile legends dan FIFA23 bagi menarik golongan remaja dan pelbagai aktiviti juga diadakan kepada golongan kanak-kanak,” katanya.

Jelasnya, penganjur turut mengadakan pameran hartanah dan konsultasi percuma berkaitan pinjaman perumahan kepada pengunjung yang memenuhi tapak program sepanjang dua hari itu.

“Dengan pertumbuhan kawasan perindustrian pesat di sekitar Bangi selama ini, kami yakin Discover PKNS @Selangor Cyber Valley ini boleh menjadi medium menarik minat bakal pembeli dan mengukuhkan kesedaran orang ramai berkenaan produk-produk perumahan PKNS menerusi promosi projek sedia ada,” tambahnya.

Sementara itu, rakan-rakan strategik PKNS turut memeriahkan kempen berkenaan menerusi gerai jualan produk, jualan produk usahawan serta gerai promosi daripada panel bank PKNS.

Discover PKNS 2023 merupakan siri jelajah ke pusat-pusat perbandaran PKNS iaitu Kota Puteri, Antara Gapi, Kompleks PKNS Shah Alam dan ‘mega finale’ atau penutup program bakal berlangsung di SACC Shah Alam pada Oktober nanti.

Sumber