Petronas kekal kedudukan jenama O&G paling kukuh dunia

Petronas kekal kedudukan jenama O&G paling kukuh dunia

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai jenama minyak dan gas (O&G) paling kukuh dunia untuk tahun ketiga berturut-turut, demikian menurut laporan tahunan Brand Finance 2022 mengenai jenama paling bernilai dan kukuh bagi sektor itu.

Malah, Petronas juga kekal sebagai dalam kelompok 10 jenama O&G global paling bernilai pada 2022.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, syarikat petroleum nasional itu menyifatkan kedudukan tersebut disumbangkan oleh rankingnya dalam Indeks Kekukuhan Jenama (BSI) yang meningkat daripada 87 pada tahun lepas kepada 87.7 pada 2022.

Kedudukan itu berdasarkan prestasi jenama serta tumpuannya terhadap langkah-langkah tidak ketara berbanding dengan pesaing.

Brand Finance memberi penilaian ke atas ekuiti pihak berkepentingan yang merangkumi data penyelidikan pasaran asal daripada lebih 100,000 responden di lebih daripada 35 negara dan merentasi hampir 30 sektor.

Dalam laporan Brand Finance Global 500 2022 mengenai jenama dunia paling bernilai yang dikeluarkan pada awal tahun ini, prestasi jenama Petronas yang konsisten telah menyumbang kepada nilai jenama sebanyak AS$13.6 bilion (AS$1=RM4.40) pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus daripada 2021.

Menurut laporan itu, selain penilaian jenama, Brand Finance turut menentukan kekukuhan relatif jenama menerusi kad skor seimbang yang meneliti aspek pelaburan pemasaran, ekuiti pihak berkepentingan dan prestasi perniagaan.

Brand Finance turut menyifatkan Petronas berada dalam kedudukan baik untuk terus memperkukuh jenamanya sejajar dengan sasaran syarikat bagi mempelbagaikan tawaran pilihan tenaga yang seiring dengan aspirasi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, pencapaian Petronas membuktikan daya tahan serta kegigihan tenaga kerjanya dalam mengharungi tempoh gangguan ketara ke atas ekosistem tenaga selama dua tahun.

“Biarpun kami menempuh persekitaran berisiko dan tidak menentu dengan kedudukan yang lebih stabil, keutamaan Petronas adalah bagi memastikan jaminan keselamatan bekalan tenaga untuk Malaysia serta semua pelanggan di serata dunia.

“Usaha untuk menyempurnakan komitmen ini menjadi lebih sukar ketika persekitaran geopolitik yang meruncing terus mengancam pemulihan pasca-pandemik yang sememangnya goyah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan kekukuhan dan kebolehpercayaan terhadap teras portfolio syarikat dan digabungkan dengan pelbagai tawaran baharu dalam penyelesaian tenaga, Petronas akan berkembang sebagai sebuah ‘kuasa pembekal tenaga’ yang menjana perniagaan serta pertumbuhan secara saksama dan mampan di Malaysia selain di negara-negara asing yang menempatkan operasinya. -Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber