Pesta Thai Lotus’s Mutiara Damansara himpun 50 gerai makanan Thailand

Pesta Thai Lotus’s Mutiara Damansara himpun 50 gerai makanan Thailand

Worawan (dua dari kanan) dan Kenneth (tengah) meninjau operasi Pesta Thai Lotus's Mutiara Damansara yang mula berlangsung pada Jumaat.

Worawan (dua dari kanan) dan Kenneth (tengah) meninjau operasi Pesta Thai Lotus’s Mutiara Damansara yang mula berlangsung pada Jumaat.

ORANG ramai berpeluang menikmati makanan Thailand menerusi Pesta Thai Lotus’s Mutiara Damansara yang berlangsung bermula 6 Oktober hingga 15 Oktober ini.

Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, pesta julung kali diadakan itu menghimpunkan 50 gerai makanan selain dimeriahkan persembahan hiburan serta produk keluaran negara tersebut.

Menurutnya, selain menikmati aneka makanan, pelanggan turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 25 peratus bagi 300 produk makanan dan minuman Thailand yang dipasarkan di Lotus’s Mutiara Damansara sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Terdapat 50 gerai makanan ditawarkan dengan pelbagai hidangan makanan serta minuman halal dan tidak halal sepanjang tempoh pesta berlangsung.

“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kesenian selain penampilan bintang pop terkenal Thailand, Da Endorphine yang akan membuat persembahan pada 15 Oktober jam 8 malam,” katanya pada pelancaran Pesta Thai Lotus’s Mutiara pada Jumaat.

Kenneth (kanan) bersama Worawan (tengah) meninjau produk Thailand yang terdapat di Lotus's Mutiara Damansara.

Kenneth (kanan) bersama Worawan (tengah) meninjau produk Thailand yang terdapat di Lotus’s Mutiara Damansara.

Perasmian disempurnakan Kenneth bersama Pengarah Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP) Thailand, Worawan Wanwil.

Kenneth berkata, pihaknya berhasrat menjadikan Pesta Thai itu sebagai acara tahunan sekurang-kurangnya diadakan setahun sekali dirangkaian Lotus’s seluruh negara.

Ujarnya, selepas pasar raya itu diambil alih pelabur Thailand, terdapat permintaan daripada pelanggan yang meminta pasar raya berkenaan memperbanyak produk dari negara itu yang semakin diterima masyarakat tempatan.

“Bagaimanapun, proses membawa masuk produk tersebut masuk mengambil masa kira-kira dua ke tiga tahun bagi menghimpunkan pembekal.

“Bukan mudah membawa masuk produk ini kerana perlu ambil kira faktor pengilang, produk halal dan memastikan mematuhi undang-undang ditetapkan dalam negara,” katanya.

Beliau berharap penganjuran pesta berkenaan dapat mengetengahkan rasa masakan negara tersebut kepada pengunjung dan membantu mempromosi produk Thailand yang dipasarkan di pasar raya berkenaan.

Sumber