Perak tarik pelaburan RM100 juta pengeluaran mineral silika, kuarza

PERAK berjaya menarik pelaburan awal bernilai RM100 juta bagi tujuan pengeluaran dan pemprosesan bahan mineral berasaskan kuarza dan silika di kawasan Perindustrian Kanthan, Mukim Ulu Kinta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd itu melibatkan pembinaan kilang pemprosesan bahan mineral secara Built-to-Suit and Lease (BTSL) atas tanah seluas 11.88 ekar milik PKNPk.

Menurutnya, kilang pemprosesan itu dijadualkan memulakan operasi tahun hadapan dan turut menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat.

“Berasaskan model perniagaan BTSL ini, PKNPk akan membina bangunan untuk Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd dengan pajakan selama 30 tahun. Adalah dijangkakan pelaburan awal bernilai RM100 juta bakal dilaburkan ke negeri ini.

“Ini akan menjadi faktor pemangkin bagi pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) dan bakal menarik banyak lagi pelaburan perusahaan berkaitan silika atau kuarza,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani BTSL antara PKNPk yang diwakili Ketua Eksekutif, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dengan Pengarah Urusan Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd, Cui Wenchuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Saarani berkata, inisiatif pembangunan mineral yang dilaksanakan PKNPk itu adalah selari dengan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2023 serta bertepatan dengan titah Sultan Perak supaya perbadanan itu menjadi peneraju aktiviti pertengahan dan hiliran bagi industri mineral.

Katanya, sehingga kini, Perak menyumbang sebanyak 2.2 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia dengan nilai RM74.2 juta pada tahun 2020.

Bagi ekonomi, sektor pembuatan telah menyumbang sebanyak 19.1 peratus manakala perlombongan dan pengkuarian pula menyumbang 0.6 peratus bagi tahun berakhir 2020.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri komited merangka strategi pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik dalam memantapkan daya saing negeri Perak menggunakan aset serta potensi sedia ada secara efisen dan optimum,” katanya.

Sementara itu, Redza Rafiq berkata, pembangunan kilang pemprosesan bahan mineral itu merupakan satu inisiatif PKNPk dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi Perak.

Jelas beliau, pembangunannya merangkumi aktiviti pertengahan dan hiliran agar bahan mentah dilombong, dilengkapi dengan nilai tambah yang dapat memberi pulangan hasil yang tinggi dan membuka peluang kerja aras tinggi kepada rakyat tempatan.

“Menerusi kilang pemprosesan ini, dijangka 1 juta tan pasir silika putih dan 100,000 tan pasir kuarza berkualiti tinggi dihasilkan setahun, material ini adalah untuk kegunaan dalam industri silikon serta tenaga boleh baharu,” katanya.

Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd adalah sebuah syarikat usahasama antara Winro Sdn Bhd dan Jinjing Group Co Ltd yang merupakan pemain industri kaca terbesar di dunia.

Jinjing Group sebelum ini telah membina fasiliti pengeluaran kaca berkualiti dan berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park dengan pelaburan RM1 billion manakala Winro merupakan pengusaha pengeluaran bahan mineral yang telah beroperasi di beberapa lokasi seperti Bidor dan Pahang.

Sumber