Airasia X tawar kredit perjalanan tertunggak boleh ditebus serta-merta

Airasia X tawar kredit perjalanan tertunggak boleh ditebus serta-merta

AIRASIA X (AAX) menawarkan semua tetamu yang terjejas untuk menempah perkhidmatan sedia ada dengan menggunakan kredit perjalanan tertunggak mereka berikutan penyambungan semula penerbangan udara.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang rendah jarak sederhana dan jauh itu mengulangi komitmennya untuk mengutamakan tetamu dengan kredit perjalanan tertunggak dan mengesahkan mereka yang terjejas kini boleh menggunakan akaun kredit untuk menempah perkhidmatan sedia ada dengan segera.

“Dalam tempoh tiga bulan akan datang, semua tetamu yang mempunyai kredit tidak digunakan dengan syarikat penerbangan itu akan turut menerima baucar perjalanan secara automatik yang boleh digunakan untuk menempah perjalanan sehingga lima tahun melalui akaun airasia rewards mereka,” menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini, AAX melancarkan perkhidmatan pasca pandemik pertamanya dari Kuala Lumpur ke Sydney dan ke New Delhi dan Seoul pada minggu lepas, yang kini tersedia untuk tempahan menggunakan akaun kredit atau kredit perjalanan tertunggak untuk perjalanan sebelum 30 Jun 2022.

AAX berkata, tetamu yang terjejas dengan proses penstrukturan semula akan turut menerima bayaran balik secara sekali beri sebanyak 0.5 peratus daripada nilai keseluruhan kredit perjalanan mereka yang tidak digunakan pada ulang tahun pertama penstrukturan semula hutang AAX pada Mac 2023 serta sebahagian daripada keuntungan AAX pada tahun akan datang.

Syarikat penerbangan itu menerusi kenyataan pada Mac 2022 berkata, ia telah melengkapkan langkah penstrukturan hutangnya.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, syarikat penerbangan itu sentiasa mengutamakan kredit perjalanan kepada tetamunya yang terjejas selama dua tahun.

“Dua tahun kebelakangan ini amat mencabar bagi kami dengan penutupan sempadan di seluruh dunia. Para tetamu kekal menjadi keutamaan kami dan mengalu-alukan mereka kembali terbang bersama kami dengan tambang bernilai hebat serta perkhidmatan dalam penerbangan terkemuka sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya.

Menurut AAX, seperti “penyata penerangan” yang telah diterima oleh semua pemiutang (termasuk para tetamu) pada tahun lepas, tawaran kredit perjalanan kepada tetamu yang terjejas dengan penstrukturan semula hutang tersebut adalah mengikut budi bicara pengurusan AAX dan tertakluk kepada terma dan syarat. – Bernama

Sumber