Nilai ringgit meningkat pada sesi awal dagangan

Nilai ringgit meningkat pada sesi awal dagangan

NILAI ringgit terus mencatatkan peningkatan dan dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin.

Seorang penganalisis berkata, mata wang tempatan dilihat stabil berikutan campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada 9 pagi, unit tempatan menambah nilai kepada 4.6615/6650 berbanding dolar AS daripada 4.6635/6705 pada penutup Jumaat lalu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengumuman Jawatankuasa Pasaran Kewangan BNM tepat pada masanya memandangkan pasaran mata wang telah terjejas oleh jangkaan kenaikan kadar faedah selanjutnya di AS dan ekonomi utama lain di Eropah.

Menurutnya, tumpuan minggu ini adalah pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada 6 Julai yang mana beliau percaya kadar dasar semalaman (OPR) akan dikekalkan pada 3.00 peratus.

“Selain itu, Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) AS juga akan menjadi sorotan utama minggu ini dengan NFP dijangka turun kepada 200,000 pada Jun selepas meningkat sebanyak 339,000 pada bulan sebelumnya.

“Justeru, ringgit boleh stabil sekitar RM4.65 hingga RM4.66 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes menjangkakan sentimen risiko tempatan akan memanfaatkan petunjuk gelombang positif Wall Street pada Jumaat lepas yang akan menyokong ringgit.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 5.0815/0853 daripada 5.0571/0647 pada penutupan urus niaga Jumaat, lemah berbanding yen Jepun pada 3.2266/2293 daripada 3.2220/2273 dan lebih rendah berbanding pound Britain pada 5.9150/9194 daripada 5.8923/9012 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniaga bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Unit tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura pada 3.4445/4474 berbanding 3.4376/4431 pada Jumaat dan turun berbanding baht Thai menjadi 13.1979/2142 berbanding 13.1529/1786.

Ringgit menambah nilai berbanding rupiah Indonesia pada 309.4/309.7 daripada 309.5/310.1 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.45 daripada 8.44/8.46 pada Jumaat. – Bernama

Sumber