MBPJ hargai Kumpulan Sunway terajui pembangunan lestari

MBPJ hargai Kumpulan Sunway terajui pembangunan lestari

PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menghargai usaha Kumpulan Sunway sebagai peneraju pembangunan lestari.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Azmir berkata, usaha tersebut berhasil melalui cetusan idea bernas dan luar biasa serta berpandangan jauh yang diilhamkan pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

“Beliau berjaya memulihkan bekas tanah perlombongan bijih timah terbiar kepada lokasi kini dikenali sebagai Sunway City Kuala Lumpur iaitu Bandar Hijau Bersepadu pertama di Malaysia dengan infrastruktur bertaraf dunia.

“Dari sebidang tanah terbiar, kini perbandaran berkenaan diliputi sebanyak 25,000 batang pokok serta 150 spesies flora dan fauna.

“Sunway City Kuala Lumpur juga berjaya menerima akreditasi indeks bangunan hijau pertama di negara ini serta Anugerah Bandar Rendah Karbon pertama daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Jambatan Sunway Serene yang turut dihadiri Jeffrey dan Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Razman M Hashim di Sunway Serene di sini pada Khamis.

Mohamad Azhan menambah, komitmen tanpa jemu Kumpulan Sunway dalam membangunkan bandar pintar yang lestari adalah sejajar dengan matlamat MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar rendah karbon.

“Ini selaras dengan 17 matlamat pembangunan lestari dan 10 tema di bawah Pelan Petaling Jaya Pintar, mampan dan berdaya tahan 2030,” katanya.

Ujarnya, MBPJ kini memberi tumpuan kepada inisiatif yang menggalakkan pengasimilasian elemen pintar inklusif, rendah karbon dan mesra kanak-kanak dengan sasaran untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin bandar, memacu keusahawanan dan mempercepatkan usaha digitalisasi.

Jeffrey (kiri) mengiringi Mohamad Azhan menandatangani plak perasmian.

Jeffrey (kiri) mengiringi Mohamad Azhan menandatangani plak perasmian.

“Kami juga berhasrat untuk memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang, menggalakkan ekonomi kitaran atau ‘circular economy’, ke arah matlamat mencapai status komuniti 5.0 dengan sistem e-pentadbiran yang cekap.

“MBPJ turut melaksanakan beberapa inisiatif untuk memajukan visi ini, termasuklah mempromosikan Petaling Jaya sebagai sebuah Kota Seni, serta memeterai MoU dengan Alliance For Safe Community untuk bekerjasama ke arah keselamatan komuniti dan keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga akan terus memartabatkan pengiktirafan istimewa dianugerahkan kepada MBPJ sebagai PBT terbaik di negara ini oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Sunway Property, cabang hartanah Kumpulan Sunway atas komitmen mereka untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti yang jelas terbukti di Sunway Serene ini.

“Saya difahamkan sejak di peringkat pembinaan lagi Sunway Property telah memperuntukkan kira-kira RM30 juta untuk menaik taraf jalan raya dan memulihkan tasik seluas 15 ekar (6.7 hektar) bersebelahan Sunway Serene,” katanya.

Katanya lagi, kerja-kerja menaik taraf jalan kini telah lengkap dan ia telah berjaya menangani isu kesesakan lalu lintas yang mungkin berpunca daripada pembangunan, di samping memberikan perjalanan lebih lancar ke rangkaian pengangkutan awam terdekat.

“Pada masa sama, Sunway Property telah memulihkan tasik seluas 15 ekar (6.7 hektar) itu, di mana kualiti airnya sebelum ini diklasifikasikan di bawah kelas empat dan lima yang bermaksud ia tidak sesuai untuk tujuan rekreasi,” katanya.

Sumber