MARDI lancar Kit Book MYSavefood

MARDI lancar Kit Book MYSavefood

INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) melancarkan Kit Book MYSavefood bagi melaksanakan program Malaysia Save Food (MYSaveFood) di bazar Ramadan secara lebih sistematik mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

MARDI dalam kenyataan berkata, buku panduan tepat dan lengkap itu dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk memaparkan SOP bagi menjalankan kerja-kerja mengendalikan makanan tidak terjual di bazar Ramadan.

“Ia melibatkan kerja-kerja seperti aliran kerja sukarelawan di tapak projek, skop tugasan sukarelawan berdasarkan aliran kerja, skop tugasan ketua bazar, SOP bagi setiap proses, cara penggunaan aplikasi projek dan lain-lain.

“Pengalaman selama lapan tahun mengendalikan MYSaveFood Ramadan ini telah menjadikan buku panduan tersebut sebagai satu hub informasi lengkap untuk penganjur, ketua bazar dan sukarelawan,” katanya.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr Asfaliza Ramli dan turut dihadiri Presiden Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Muhammad Nasim A Ralim.

Menurut MARDI, cetusan idea projek MYSaveFood Ramadan bermula di Kampung Baru pada tahun 2016 melalui inisiatif belia tempatan iaitu Mohamad Rahimi Adnan dengan disokong dan dibantu oleh Pemuda GEMA.

Jelas kenyataan itu, projek berkenaan telah dijadikan salah satu inisiatif utama di bawah program MYSaveFood oleh MARDI selain berkembang dari tahun 2016 sehingga kini di bawah kelolaan Pemuda GEMA.

“Projek MYSaveFood Ramadan merupakan satu inisiatif pengurusan sisa makanan ‘Food Waste Management’ di bazar Ramadan secara berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar,” ujarnya.

Justeru, MARDI berkata, objektif program berkenaan adalah bagi membudayakan satu sistem pengurusan sisa makanan efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran sisa makanan berlaku dalam kalangan peniaga terbabit.

Jelas MARDI, usaha tersebut juga membantu dalam mengurangkan penghasilan gas metana yang memberi kesan kepada pemanasan global.

Tambah kenyataan itu lagi, perancangan bagi program berkenaan pada tahun 2023 adalah lebih sistematik selain jumlah penyertaan bazar dijangka akan meningkat memandangkan sambutan diterima oleh sukarelawan dan peniaga bazar adalah sangat menggalakkan.

“Jadi pihak MYSaveFood bersama penganjur dan rakan strategik lain akan bersama-sama menggerakkan operasi program ini selain terlibat dalam pemberian sumbangan terutama dari sudut kewangan, kumpulan media, sukarelawan dan percetakan bahan program bagi memastikan program ini berjaya,” jelasnya.

Sumber