KANAK-KANAK memang amat gemar minum minuman manis.
Bagaimanapun sebagai ibu bapa yang prihatin dengan kesihatan anak-anak, kita seharusnya mendedahkan mereka akan pentingnya minum air kosong dalam menjalani kehidupan seharian.
Apalagi air kosong membekalkan keperluan cukup besar buat anak kecil.
Ikuti fakta menarik tentang manfaat air kosong.
1. Mengawal suhu badan
Minum air sejuk membantu mengawal suhu badan dan menjaga kandungan air dalam badan terutamanya ketika cuaca panas serta selepas senaman.
2. Fisiologi dan organ
Tubuh manusia terdiri daripada 60 hingga 70 peratus air. Setiap fungsi fisiologi dan organ bergantung kepada air. Ia membantu nyah toksin, membekalkan nutrien, hormon, antibodi, sel-sel melawan penyakit ke seluruh badan, melincirkan sendi, menjaga kelembapan membran dan proses pencernaan.
3. Manfaat fluorida
Air yang diminum memberi manfaat kepada fluorida yang membantu mencegah rongga gigi, kerosakan gigi, mengekalkan bentuk dan kekuatan gigi serta melindungi permukaan gigi.
4. Pulih dari sakit
Kanak-kanak memerlukan lima hingga lapan cawan air setiap hari. Kanak-kanak yang sangat aktif yang berada di luar rumah semasa cuaca panas, sakit atau baru pulih dari sakit memerlukan lebih banyak air. Kanak-kanak yang kurang air akan menunjukkan petanda seperti sakit kepala, letih, air kencing berwarna kuning gelap dan haus.
5. Cegah dehidrasi
Air sejuk mengatasi dehidrasi lebih cepat daripada air suam sebab ia bergerak lebih cepat dari usus ke aliran darah.