Malaysia #QuranHour dorong umat Islam kembali kepada al-Quran

Malaysia #QuranHour dorong umat Islam kembali kepada al-Quran

PUTRAJAYA – Program Malaysia #QuranHour berupaya mencetuskan atau mendorong umat Islam kembali kepada al-Quran sebagai penyelesaian kepada kemelut hidup yang melanda ketika ini.

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias berkata, kitab suci umat Islam itu berperanan sebagai petunjuk atau ubat kepada jiwa dan pemikiran masyarakat untuk kembali bersatu.

“Kita dapat lihat hari berlaku pelbagai bentuk persengketaan, perbalahan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat di negara kita (membabitkan krisis politik dan sebagainya) yang tidak tidak diketahui bila akan berakhir atau berdamai.

“Jadi, kita melihat penyatuan ini dapat dilakukan sekiranya semua pihak kembali kepada al-Quran yang merupakan petunjuk kepada kita semua,” katanya ketika ditemui pada program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kembali menjadi lokasi perdana buat kali keempat yang mana kali pertama masjid ini menjadi tuan rumah pada tahun 2016.

Malaysia #QuranHour 2022 mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dalam membina ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang diadakan serentak secara fizikal di seluruh negara bermula 12 hingga 1 tengah hari.

Sementara itu, ditanya mengenai pemilihan masjid ini sebagai lokasi perdana buat kali keempat, Nor Azamir menyifatkan ia sebagai satu penghargaan besar buat seluruh pengurusan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Katanya, program ini juga selari dengan usaha pengurusan masjid untuk mengimarahkan tempat ibadat umat Islam itu dengan aktiviti bacaan al-Quran dan aktiviti keagamaan lain.

“Mewakili pengurusan masjid, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan pihak yang terlibat kerana sekali lagi memilih tempat kami.

“Insya-ALLAH, masjid kami sedia dan terbuka sekiranya program ini ingin memilih Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sebagai lokasi perdana pada tahun-tahun akan datang,” katanya.


Sumber