KUALA LUMPUR – Malaysia terus berada di landasan pemulihan ekonomi namun masih perlu berwaspada terhadap ketidaktentuan global, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, aktiviti sosioekonomi juga terus rancak sejajar dengan usaha negara memasuki fasa akhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Januari 2022.
“Walaupun begitu, cabaran global seperti bencana berkaitan iklim, krisis geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan dijangka akan memberi kesan kepada inflasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan media sempena penerbitan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 3/2022 oleh Jabatan Perangkaan, pada Khamis.
Mohd Uzir juga menyifatkan ekonomi Malaysia terus berada di landasan pemulihan meskipun dalam keadaan tidak menentu seperti dipaparkan menerusi Indeks Pelopor (IP) yang secara konsisten melebihi 100.0 mata dan mencatatkan 110.1 mata pada Januari 2022.
“Malaysia kini menuju ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa yang seterusnya akan membawa lebih banyak impak positif kepada aktiviti berkaitan pelancongan serta pasaran buruh yang boleh mengatasi isu kekurangan pekerja dalam industri tertentu.
“Walaupun Malaysia kekal optimistik ke arah pemulihan ekonomi, kita harus berwaspada dengan ketidaktentuan global yang berterusan susulan ketidakstabilan geopolitik dan sekatan pergerakan penuh yang berlaku di bandar seluruh China,” katanya.
Mohd Uzir berkata, jumlah perdagangan negara terus berdaya tahan dengan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 24.8 peratus kepada RM203.0 bilion daripada RM162.6 bilion pada Januari 2021.
“Eksport melonjak 23.5 peratus kepada RM110.7 bilion iaitu lebih tinggi daripada nilai import yang meningkat 26.4 peratus kepada RM92.3 bilion, seterusnya membawa kepada lebihan dagangan berjumlah RM18.4 bilion iaitu naik 10.9 peratus daripada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, pada Januari 2022, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.3 peratus berbanding bulan sama tahun lepas terutamanya disebabkan oleh kesan asas selain peningkatan dalam pengangkutan dan makanan dan minuman bukan alkohol.
“Kenaikan ini juga melebihi kadar inflasi purata Malaysia sebanyak 1.9 peratus bagi tempoh 2011 hingga Januari 2022,” katanya.
Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan yang mengukur kos barangan di kilang, melonjak 9.2 peratus pada Januari 2022 berbanding penurunan 0.1 peratus pada Januari 2021, dipacu oleh harga komoditi primer yang lebih tinggi.
“Peningkatan IHPR bagi pengeluaran tempatan pada Januari 2022 disokong terutamanya oleh kenaikan dalam indeks perlombongan dan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan,” katanya.
Mohd Uzir berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Januari 2022 meningkat sebanyak 4.3 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya, dipacu oleh indeks pembuatan (6.8 peratus) dan indeks elektrik (7.7 peratus).
Bagaimanapun, indeks perlombongan mencatat penurunan 5.1 peratus.
Dalam pada itu, jualan pembuatan pada Januari 2022 berjumlah RM139.0 bilion iaitu berkembang sebanyak 13.1 peratus secara tahunan didorong oleh produk makanan, minuman dan tembakau, produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta produk elektrik dan elektronik.
Mengulas senario buruh, beliau berkata, berbanding Januari 2021 yang mana pasaran buruh dalam keadaan mencabar, situasi berkenaan bagaimanapun bertambah baik pada Januari lepas apabila bilangan tenaga pekerja meningkat sebanyak 346,600 orang (2.2 peratus) kepada 16.37 juta orang.
“Bilangan penganggur juga terus berkurangan sebanyak 1.1 peratus kepada 680,400 orang dengan mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 4.2 peratus,” katanya. – Bernama