Rizab asing Malaysia kekal stabil pada akhir Februari 2022: BNM

Rizab asing Malaysia kekal stabil pada akhir Februari 2022: BNM

KUALA LUMPUR – Satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka setakat akhir Februari 2022 adalah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$401.8 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam pemakluman terperinci rizab antarabangsa setakat akhir Februari 2022 yang dikeluarkan pada Khamis, BNM berkata, tiada sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format ‘Special Data Dissemination Standard’ (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Februari 2022 tetap boleh guna,” katanya.

Menurut BNM, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing akan matang termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM berjumlah sehingga AS$5.599 bilion.

“Kedudukan jualan hadapan adalah sebanyak AS$8.47 bilion manakala jumlah kedudukan belian hadapan adalah sebanyak AS$130 juta pada akhir Februari 2022, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

BNM berkata, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

“Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.27 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang,” katanya. – Bernama



Sumber