KPLB terus perkasa usahawan desa

KPLB terus perkasa usahawan desa

PONTIAN – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan kawasan luar bandar menjadi pusat pertumbuhan ekonomi bidang keusahawanan sebagai aktiviti utama menjelang tahun 2030.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi mencapai sasaran itu usahawan luar bandar perlu diperkasakan dengan pengetahuan serta kemahiran baharu.

Menurut beliau, pengetahuan dan kemahiran mengenai penggunaan teknologi maklumat dan inovasi aplikasi siber juga penting bagi menghadapi persaingan yang kompetitif.

“Kita menyedari pembudayaan norma baharu kesan Covid-19 menjadi faktor penggalak kepada penggunaan teknologi membabitkan banyak perkara termasuk bidang keusahawanan.

“Justeru penggunaan teknologi ini mampu meningkatkan penyertaan usahawan di luar bandar selaras hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk merapatkan jurang pendapatan penduduk dan luar bandar,” katanya ketika Mini Karnival Usahawan [email protected] di Stadium Mini Pontian di sini pada Khamis.

Tambah beliau, usahawan berjaya membuktikan mereka juga mampu menguruskan perniagaan dengan lebih cekap menerusi bimbingan dan kursus yang dilaksanakan kementeriannya,

“Sehingga kini, terdapat lebih 64,000 usahawan di bawah KPLB yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan daripada perusahaan kecil sehingga yang besar.

“Ada juga usahawan KPLB yang sudah menembusi pasaran antarabangsa. Ini merupakan satu kebanggaan bagi pihak kementerian kerana dapat melahirkan lebih ramai usahawan,” katanya.

Mahdzir turut memaklumkan, [email protected] menyasarkan seramai 10,000 pengunjung ke tapak karnival sepanjang tiga hari sehingga Sabtu.

“Aktiviti yang dilaksanakan merangkumi sesi pameran, dan khidmat nasihat. Melalui sesi ini usahawan luar bandar boleh memilih untuk menghadiri mana- mana sesi bimbingan berkaitan bidang perniagaan mereka.

“Terdapat aktiviti sesi penerangan dan bimbingan daripada KPLB dan agensi di bawahnya serta aktiviti jualan produk oleh 100 usahawan di bawah KPLB,” katanya

Sumber