‘Kami bukan mat rempit’ – Sinar Harian

SEBUT sahaja mat motor, ramai yang mengaitkannya dengan aktiviti kurang bermoral seperti lumba haram, mat rempit dan seumpamanya yang kurang enak didengar pada halwa telinga.

Hakikatnya, banyak aktiviti berfaedah dapat dilakukan dengan jentera dua roda itu. Peningkatan trend bermotosikal di Malaysia sebenarnya secara tidak langsung mewujudkan kelab atau kelompok motosikal dalam kalangan pemilik kenderaan dua roda itu.

Selain dapat beramah mesra dan melakukan aktiviti motosikal bersama, kewujudan banyak kelab motosikal membuktikan perkembangan positif industri permotoran tempatan.

Republic of Team Shell (ROTS) Malaysia contohnya, adalah antara kelab yang sering melakukan perjumpaan bertujuan mengeratkan silaturahim sesama ahli. ROTS yang dahulunya dikenali sebagai Team Shell kini memiliki pengikut melebihi 4,700 di Facebook dan Instagram.

Aktif mempromosikan pelbagai aktiviti menjadikan kelab itu semakin dikenali, malah jumlah keahlian rasmi meningkat kepada lebih 6,000 sejak ditubuhkan sekitar tahun 1996.

Presiden ROTS, Mohd Noor Maula, 33, berkata, aktiviti kelabnya semakin mendapat sambutan dalam kalangan ahli selain bilangan ahli baharu sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Tujuan asal penubuhan kelab ini adalah untuk berkumpul dan melakukan aktiviti positif dalam kalangan pencinta jentera dua roda selain membincangkan hal berkaitan teknikal.

“Aktiviti kelab ini nampaknya semakin berkembang dengan penganjuran program tanggungjawab sosial yang sekali gus memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan setia kawan antara satu sama lain,” ujarnya.

Jiwa pada motosikal

Menurut Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Mamat, jiwa muda dan dunia permotoran sangat berkait rapat. Mana tidaknya, hampir kebanyakan remaja terutama lelaki memiliki motosikal seawal usia 16 tahun.

Beliau tidak menolak, situasi itu menyebabkan ada yang terlalu taasub dengan motosikal hingga terjebak melakukan aktiviti tidak berfaedah. Menghabiskan masa melepak, mengubah suai motosikal tidak mengikut undang-undang selain lumba haram, katanya, lazim dilakukan untuk ‘memenuhi masa’ yang ada.

Tanpa bimbingan, keadaan itu semestinya mengundang pandangan serong masyarakat yang melabel golongan terbabit sebagai mat rempit atau remaja yang tiada masa depan, ujar Mohd Noor.

Hakikatnya tidak semua remaja yang menunggang motosikal adalah mat rempit. Bukan semua juga terbabit dalam aktiviti tidak bermanfaat kerana pokok pangkalnya adalah daripada hati remaja itu sendiri.

MOHD Noor Maula

MOHD Noor Maula

“Kami di ROTS Malaysia sentiasa memantau aktiviti ahli kumpulan kami. Kami mahu membentuk satu komuniti yang sihat serta disenangi oleh semua masyarakat melalui aktiviti permotoran seperti melakukan program amal.

“Kami harap hobi menunggang sambil beramal ini memberi contoh kepada masyarakat luar bahawa tidak semua mat motor memberi masalah kepada orang ramai,” katanya.

BIARPUN santai, aktiviti berjaya mengeratkan ukhuwah sesama ahli.

BIARPUN santai, aktiviti berjaya mengeratkan ukhuwah sesama ahli.

Terbaharu, ROTS Malaysia baru selesai acara berkonvoi di Batu Buruk, Terengganu yang membabitkan lebih 600 buah motosikal pelbagai jenama.

“Asalkan namanya dua roda, kami terima dengan hati terbuka. Yang penting, objektif mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli melalui aktiviti sebegini tercapai,” tuturnya.

ROTS Malaysia juga berhasrat meneruskan aktiviti tradisi seperti konvoi sambutan Ambang Merdeka, Tahun Baru dan Hari Buruh pada setiap tahun.

Selain itu, banyak lagi aktiviti yang telah dirancang ahli kelab untuk dilaksanakan mengikut negeri.

ROTS mampu mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli melalui aktiviti yang dianjurkan.

ROTS mampu mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli melalui aktiviti yang dianjurkan.

ROTS Malaysia juga mempunyai barisan ahli jawatankuasa dan exco yang amat komited dengan setiap aktiviti yang dijalankan walaupun dibuat secara sukarela.

Mengakhiri perbualan, Mamat berkata, ROTS Malaysia tidak mengehadkan penyertaan ahlinya. Mereka yang meminati jentera dua roda sangat dialu-alukan menyertai ROTS Malaysia.

Sumber