Jom terokai monumen bersejarah di negara kita

Siri penjajahan di bumi Tanah Melayu selama lebih 500 tahun oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun meninggalkan banyak monumen bersejarah yang akhirnya menjadi tarikan pelancongan.

Keunikan binaan bangunan asli Melayu dan berunsurkan kolonial ini bukan sahaja dikunjungi oleh masyarakat setempat malahan turut menggamit kunjungan pelancong luar ke kota-kota warisan berkenaan.

1. Kellie’s Castle, Perak

Kellie’s Castle yang terletak di Batu Gajah ini adalah bangunan bersejarah yang dibina oleh peladang getah terkemuka dari Britain, William Kellie Smith pada 1910. Beliau telah membeli sebidang tanah seluas 960 ekar untuk dijadikan ladang getah dan tapak untuk membina rumah.

Namun, pembinaan istana ini terpaksa dihentikan serta-merta kerana Kellie meninggal dunia secara mengejut pada tahun 1926. Walaupun tidak siap 100%, istana ini dikatakan memiliki banyak ruang rahsia termasuklah terowong-terowong bawah tanah.

Bangunan tiga tingkat ini diilhamkan mengikut reka-bentuk istana Moghul di Agra, India dan jubin dindingnya diimport dari Itali. Batu-bata dilekat menggunakan bancuhan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu, tiada besi atau paku digunakan.

2. Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur

Bangunan Sultan Abdul Samad yang tersergam indah di hadapan Dataran Merdeka ini dibina pada abad ke-19 iaitu pada tahun 1893. Bangunan ini memiliki reka bentuk Moghul dan Moorish dengan pengaruh Islam berdasarkan tiga buah kubahnya.

Bangunan ini dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan, namun setelah Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pada 1948, Bangunan Sultan Abdul Samad dinamakan sebagai Sekretariat Persekutuan.

Pada tahun 1974 pula, pejabat-pejabat Kerajaan Negeri Selangor telah dipindahkan ke Shah Alam, dan bangunan ini telah diberikan nama baru bersempena nama Sultan Selangor yang memerintah dari tahun 1857 ke 1898 iaitu Sultan Abdul Samad.

Bangunan ini menjadi latar belakang Perarakan Kemerdekaan setiap 31 Ogos dan sambutan malam Tahun Baru setiap 1 Januari.

3. The Stadthuys, Melaka

Mercu tanda yang berada di Bandar Hilir ini amat sinonim dengan Melaka. Binaan bersejarah ini adalah bangunan kerajaan belanda yang tertua di Asia Tenggara. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda.

The Stadthuys menjadi titik tumpuan beberapa kerajaan seperti Belanda, Portugis, Inggeris dan lain-lain selama lebih dari 300 tahun. Pada tahun 1982, Stadthuys diubah menjadi muzium.

Bangunan berwarna merah yang menjadi lokasi tumpuan di Melaka ini turut dipenuhi barisan beca yang penuh warna-warni dan berbunga-bunga sekitar luar bangunan.

4. Fort Cornwallis, Pulau Pinang

Fort Cornwallis yang terletak bersebelahan Padang Kota Lama ini merupakan kubu bersejarah yang berusia lebih 200 tahun. Kubu ini telah dibina pada 1786 oleh Francis Light ketika menawan Pulau Pinang.

Kubu asal dibina dengan menggunakan batang nibung namun pada 1793 ia dibina semua menggunakan batu bata sebagai kubu pertahanan. Walaupun berusia ratusan tahun, kota ini masih utuh dan merupakan kota lama di Malaysia yang masih dipelihara dengan baik.

Di dalam kota ini terdapat binaan bangunan, meriam, stor simpanan bahan letupan dan sebuah gereja kecil. Terdapat juga tugu peringatan Francis Light yang menjadi ikon kubu ini.

5. Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan

Istana Seri Menanti di Kuala Pilah ini dibina pada 1902 dan mempunyai ciri-ciri seni bina Minangkabau yang unik. Warna hitam bangunan ini menjadikan ia kelihatan tersergam indah dari jauh. Bangunan setinggi empat tingkat ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki.

Yang menariknya, istana indah ini telah dibina tanpa menggunakan sebarang paku besi. Mereka hanya menggunakan sambungan kayu yang dinamakan pasak.

Pada 14 Julai 1992, Istana Menanti telah diwartakan menjadi Muzium Diraja dan telah menjadi tumpuan pelancongan untuk menyaksikan pameran koleksi-koleksi keluarga Diraja Negeri Sembilan. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut.

6. Bangunan Sultan Ibrahim, Johor

Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak di atas Bukit Timbalan, Johor Bahru ini dibina pada tahun 1938 dan dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor. Pelan Bangunan Sultan Ibrahim telah direka oleh firma seni bina terkenal British iaitu Palmer dan Turner pada tahun 1937.

Bangunan setinggi 11 tingkat itu siap sepenuhnya pada tahun 1942 dan dikatakan sebagai lambang keagungan Johor yang pada ketika itu sedang membangun dan makmur sejahtera.

Seni bina bangunan ini menggabungkan reka bentuk kolonial dan Melayu manakala menara bangunan ini dijadikan mercu tanda di Johor Bahru.

7. Kota A Famosa, Melaka

Kota A Famosa dibina pada tahun 1511 dan mercu tanda paling popular di Melaka. Mengikut sejarah ia didirikan oleh penjajah Portugis sebagai kubu pertahanan mereka di Melaka.

Bangunan yang berusia lebih 500 tahun ini mempunyai pintu gerbang yang turut dikenali sebagai pintu gerbang Santiago. Pintu gerbang ini merupakan struktur seni bina Eropah yang paling tua dan masih kekal di Asia.

Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir ini wajib dilawati jika anda bercuti ke Melaka kerana ia merupakan sebahagian daripada sejarah negara dan mercu tanda pelancongan negeri berkenaan.

8. Rumah Api Bukit Malawati, Selangor

Rumah api yang terletak di atas Bukit Malawati, Kuala Selangor ini juga dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg bersempena dengan nama Gabenor Jeneral Belanda yang memerintah semasa penawanan Kota Malawati.

Rumah Api ini dibina pada tahun 1907 dan mula beroperasi pada tahun 1910. Menariknya, rumah api itu masih berfungsi sehingga hari ini sebagai panduan perjalanan kapal laut di Selat Melaka dan diuruskan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Selangor.

Selain daripada lokasi dan monumen bersejarah Bukit Malawati juga menjanjikan pemandangan yang menarik untuk bergambar.

9. Istana Balai Besar, Kelantan

Istana Balai Besar yang terletak di Kota Bharu ini adalah sebuah bangunan lama yang telah dibina pada tahun 1840 oleh Sultan Muhammad II bagi menggantikan pusat pentadbiran dari Kota Saba ke Kota Bharu.

Istana yang telah terbina ini telah dijadikan tempat bersemayam beberapa Sultan lain dan sehingga kini, bangunan ini masih kekal digunakan untuk menjalankan sebarang majlis rasmi kerajaan.

Istana dua tingkat ini menjadi tempat berlangsungnya segala upacara seperti pertabalan, kemahkotaan dan lain-lain. Ia juga merupakan salah satu ikon pelancongan bagi negeri Kelantan.

10. Kubu Margherita, Sarawak

Kubu berwarna putih yang terletak di Kuching, Sarawak ini telah siap dibina dengan reka bentuk istana lama Inggeris pada tahun 1879 oleh Sir Charles Brooke dan diberikan nama sempena nama isterinya, Margaret Brooke.

Kubu ini dibina untuk menjadi lambang kestabilan kerajaan dan kekuatannya. Terletak di atas bukit, kubu ini menyajikan pemandangan yang luas ke semua arah di kawasan sekitarnya.

Kubu ini merupakan monumen paling signifikan kepada bandaraya Kuching dari sudut sejarah, reka bentuk dan pelancongan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *