Johor penyumbang terbesar jumlah perdagangan negara

Johor penyumbang terbesar jumlah perdagangan negara

JOHOR muncul sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah perdagangan negara bernilai RM247.592 bilion bagi tempoh Januari sehingga April tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sumbangan Johor daripada segi perdagangan dan pelaburan adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi negara.

“Kedua-dua perdagangan dan pelaburan (Johor) adalah penting dan daripada segi sumbangan Johor untuk perdagangan, kedudukannya naik nombor satu iaitu 30 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM842.795 bilion bagi tempoh Januari sehingga April tahun ini.

Bagi tempoh yang sama tahun lepas, Johor berada di tempat ketiga daripada segi jumlah perdagangan di belakang Selangor dan Pulau Pinang.

MITI akan memudahcara pelaburan E&E, kimia dan tenaga lestari di Johor

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, momentum pelaburan di Johor disifatkan terus positif dan semakin berkembang dengan sektor utama terus menjadi fokus seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta kimia dan petrokimia.

“Mesyuarat hari ini juga membincangkan fokus akan datang iaitu industri tenaga boleh diperbaharui (RE) dan tenaga kerja, justeru pelabur-pelabur dan syarikat-syarikat diminta memberi tumpuan kepada dua aspek ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji prestasi dan penyelarasan serta kerjasama agensi persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan semua pelaburan di negeri Johor yang diumumkan, berjaya dilaksanakan.

“Contohnya apabila pelabur datang, kadang-kadang ada (projek) yang tidak dapat dilaksanakan tetapi di Johor ini, berdasarkan ‘track record’ (rekod pencapaian) hampir 98 peratus projek yang diumumkan telah dapat dilaksanakan,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dan agensi persekutuan serta negeri yang terlibat dalam memastikan pelaburan di Johor dalam tahap terbaik.

Ia juga dapat dilihat apabila negeri itu turut mencatatkan eksport tertinggi dalam negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, katanya.

“Kerjasama antara MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi-agensi di bawah kementerian bersama dengan agensi-agensi di peringkat negeri seperti Invest Johor dan pihak berkuasa tempatan yang banyak menyumbang kepada angka pelaburan ini.

“Nilai eksport terus meningkat kerana pelabur-pelabur hendak lihat daripada segi kecekapan, bagaimana kita membantu mereka kerana time is money,” katanya lagi. – Bernama

Sumber