Jerit perih Sumayyah menjadi saudara baharu

BENAR, hidayah datang dalam pelbagai cara dan bentuk. Ia hadir secara sendiri tanpa paksaan.

Penulis mendekati seorang saudara baharu bernama Nur Sandhyalini Sumayyah Abdullah, 26, atau mesra disapa Sumayyah.

Sumayyah memeluk Islam pada Disember 2014. Pun demikian, ada cabaran di sebalik itu semua.

Katanya, beliau jatuh hati dengan Islam sejak dari zaman belajar. Namun, ibu bapanya tidak mengizinkan.

SUMAYYAH

SUMAYYAH

“Saya membesar di Ampang, Selangor. Di kawasan perumahan itu, keluarga saya satu-satunya masyarakat India dalam kalangan orang Melayu. Jadi sedikit sebanyak saya terikut-ikut apa yang rakan-rakan Islam saya beritahu. Contohnya ketika azan, kita kena diam.

“Di sekolah pula, sebelum memulakan sesi pembelajaran, rakan-rakan saya akan membaca doa dan surah Al-Fatihah. Saya juga pandai membaca surah ini kerana sering mendengarnya. Bila saya katakan pada ibu bapa saya untuk memeluk Islam, mereka membantah keras,” ujarnya yang juga seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Selepas ibunya meninggal dunia pada Januari 2014 dan bapanya pulang ke kampung halamannya di Perak, barulah Sumayyah memeluk Islam.

Sebenarnya, beliau sedikit terkilan kerana tidak memaklumkan tentang hijrahnya dengan bapanya yang meninggal dunia pada Mac 2015!

Terkesan video banjir

Ketika hari persemadian bapanya, beliau terpaksa pulang ke kampung tanpa bertudung kerana semua keluarganya tidak tahu penghijrahannya itu. Yang tahu cuma abang kandungnya yang sudah lama memeluk agama Islam.

“Kalau saya balik kampung dalam keadaan pakai tudung, saya tak akan dapat dekat dengan jasad ayah saya. Silap-silap tak dapat masuk dalam kampung itu,” ceritanya.

Sanak saudaranya hanya mengetahui Sumayyah memeluk agama suci ini selepas sijil kematian ayahnya dikeluarkan. Namanya Islamnya tertera pada sijil kematian itu sebagai pemaklum.

Bermulalah episod baharu dalam hidupnya. Sumayyah tanpa menoleh ke belakang terus mendalami Islam dan mengikuti kelas fardu ain.

Sumayyah (depan, kiri) ketika mengikuti kelas fardu ain.

Sumayyah (depan, kiri) ketika mengikuti kelas fardu ain.

“Saya ambil masa sebulan untuk belajar solat, ingat semua bacaan. Untuk mengaji pula, saya betul-betul fokus pada bulan Ogos tahun lepas.

“Sebab selepas kematian kedua ibu bapa saya, saya kuat bekerja kerana saya sudah tiada sesiapa yang akan menanggung saya. Namun selepas lima tahun, barulah kesedaran timbul, sampai bila saya perlu hidup begini, mengaji pun tak pandai. Saya cemburu tengok anak-anak kecil pandai mengaji,” katanya yang kini sudah memasuki Iqra 4.

Sumayyah mencelah dalam perbualan kami. Katanya, ada faktor lain beliau memeluk Islam? Ujarnya, hidayah paling kuat untuknya berhijrah selepas habis menonton video seorang bapa menyelamatkan anaknya ketika berlaku banjir besar di Kelantan pada 2014.

“Bapa itu akhirnya maut selepas tenggelam timbul dalam banjir. Secara tiba-tiba saya rasakan mahu ambil wuduk dan solat. Saya tidak tahu kenapa rasa begitu sedangkan saya tidak tahu solat,” katanya yang mengucap dua kalimah syahadah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *