Pernah jaga khinzir, buat arak sebelum memeluk Islam

Pernah jaga khinzir, buat arak sebelum memeluk Islam

SELAIN Sumayyah, sinar Islam juga diperoleh oleh seorang lelaki berbangsa Iban dari Simunjan, Sarawak.

Nama beliau ialah Muhammad Mirai Noha Abdullah atau Mirai. Bicaranya dengan penulis bermula dengan menceritakan tentang tugasnya yang pernah membantu bapa saudara dan sepupunya menternak khinzir sebelum memeluk Islam.

Meskipun bukan secara sepenuh masa, ternyata ia membuka minda Mirai, 36, tentang hakikat sebenar kenapa umat Islam dilarang makan khinzir.

Ceritanya, ketika itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Dayak Muslim Selangor masih bersekolah dalam tingkatan 5 hingga 6. Setiap kali cuti sekolah, beliau akan turun padang membantu pakciknya.

“Bila saya ternak khinzir, saya boleh lihat tabiat haiwan itu. Kerjanya hanya makan, tidur dan beranak. Lagi satu, haiwan itu akan berkubang pada najisnya sendiri. Tidak pernah saya melihat haiwan lain yang sifatnya seperti itu. Terlintas juga di fikiran saya mungkin sebab itu orang Islam tak boleh makan haiwan ini,” imbaunya secara bersungguh.

Bukan itu sahaja, beliau juga turut membantu pakciknya membuat minuman keras tradisional orang Iban, yang dipanggil ‘langkau’.

“Pada waktu itu, kesedaran masih tidak lagi timbul. Mungkin sebab tiada siapa yang bawa kita lari daripada kehidupan itu. Jadi saya terus hanyut dalam kehidupan sebegitu. Sebab itu dalam ‘street’ dakwah, mereka perlukan seseorang untuk membimbing dari terus hanyut.

“Apa pun, saya anggap ia sebagai satu pengajaran supaya saya boleh sampaikan pada orang lain. Saya boleh kongsi dengan kawan-kawan dan anak-anak murid saya tentang perkara ini,” ujar beliau.

Cabaran

Mirai mengakui, beliau memeluk agama Islam pada tahun 2009 kerana ingin berkahwin dengan wanita dicintainya, Farahiyah Kastari.

MIRAI

MIRAI

Meskipun pada awalnya didorong atas rasa ‘terpaksa’, namun kini Mirai berasa seolah-olah dirinya insan bertuah kerana dapat merasai betapa nikmatnya agama Islam.

“Inilah agama yang sebenar, merangkumi semua perkara berbanding dengan agama lain. Puasa pun ada rasa lain berbanding dengan agama lain. Saya dapat rasa ada kehadiran satu kuasa yang membuatkan kita rasa tenang.

“Saya tak pernah rasa begitu walaupun saya berpuasa ketika menganut agama Kristian dulu. Hanya rasa lapar dan dahaga saja,” katanya yang pernah menganut agama Buddha dan Tao.

Bercerita tentang cabaran, Mirai tidak menafikannya. Beritahunya, selepas memeluk Islam, ramai rakan lamanya mengajak ‘minum’ dan ada juga yang mengajaknya memakan haiwan yang dilarang Islam.

“Memang pelik sebab sebelum ini, mereka tidaklah begitu rapat dengan saya tetapi selepas saya peluk agama Islam, mereka cuba ajak saya buat perkara-perkara ini pula. Namun, saya menolak ajakan mereka,” ujarnya.

Ya, selepas 10 tahun bergelar mualaf, lelaki ini berkata, sudah tiba masanya beliau menyumbang khidmat kepada saudara baharu dan mereka yang mahu berjinak-jinak dengan agama hebat ini.

Mirai kini ialah guru pembimbing yang dilantik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengajar fardu ain, tauhid, fekah dan iqra di sebuah pusat pendidikan mualaf di Selangor.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge