‘Jadikan surah Al-Sajdah panduan bina negara’

‘Jadikan surah Al-Sajdah panduan bina negara’

Depan dari kanan, Md Abdu, Muhammad Uwais Qarni, Dr Zulkifle,Mohd Khalil dan Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak bersama para peserta Program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Pahang di Masjid MTNP pada Selasa.

Depan dari kanan, Md Abdu, Muhammad Uwais Qarni, Dr Zulkifle,Mohd Khalil dan Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak bersama para peserta Program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Pahang di Masjid MTNP pada Selasa.

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Program Malaysia#QuranHour Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Masjid Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 700 peserta.

Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak berkata, program sempena bulan kemerdekaan itu dijayakan dengan sokongan kerajaan negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan MTNP selaku tuan rumah.

Menurutnya, selain lokasi utama di Masjid MTNP, Malaysia #QuranHour turut diadakan di beberapa lokasi lain di seluruh negeri.

“Sesuai dengan temanya ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ solusi daripada surah Al-Sajdah ayat satu hingga 30 yang dibacakan, kita dapat memahami bahawa rakyat yang berakhlak menjadi penentu kepada kemakmuran sesebuah negara.

“Pada masa sama, erti di sebalik ayat-ayat yang dibacakan boleh menjadi panduan ke arah membina negara yang dirahmati dan diredhai ALLAH,” katanya ketika ditemui selepas program itu di Masjid MTNP pada Selasa

Program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Pahang dirasmikan Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali mewakili Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Khalil Mohd Zari dan Mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ribat Al Mustafa dan Ribat Az Zahra, Muhammad Uwais Qarni Abdul Wahab selaku pentadabbur.

Md Abdu berkata, surah Al- Sajdah mengajar umat Islam supaya tidak sombong sebaliknya sentiasa sujud kepada ALLAH untuk menggugurkan sifat buruk itu.

“Pada masa sama, kita juga disuruh supaya sentiasa bersedekah dan bersabar dengan ujian ALLAH kerana perbuatan itu mampu membina akhlak yang lebih baik.

“Sebagai rakyat berakhlak dan melaksanakan syariat, Insya-ALLAH negara kita juga akan dipandu menjadi sebuah negara yang maju dengan rezeki melimpah,” katanya.

“Insya-ALLAH bila rakyat berakhlak, negara akan dirahmati dan inilah yang kita semua harapkan,” katanya.

Sumber