150 perpustakaan di Selangor sertai Malaysia #QuranHour

150 perpustakaan di Selangor sertai Malaysia #QuranHour

Kira-kira lebih 40 peserta menyertai program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda pada Selasa.

Kira-kira lebih 40 peserta menyertai program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda pada Selasa.

SHAH ALAM – Sebanyak 150 perpustakaan di bawah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyertai Malaysia #QuranHour 2022 secara serentak pada Selasa.

Ketua Gerakan Membaca PPAS, Mohamed Fadzil Mohd Fauzi berkata, pihak perpustakaan di kawasan masing-masing diberi kelonggaran untuk menyertai program tersebut mengikut kesesuaian.

“Ada pihak perpustakaan yang menyertainya bersama penduduk tempatan atau agensi kerajaan dan ada juga dibuat secara dalam talian menerusi Facebook Live.

“Kami juga menguar-uarkan kepada agensi-agensi di bawah PPAS supaya ia menjadi satu acara tahunan,” katanya selepas program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini pada Selasa.

Lebih 40 peserta menyertai Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda yang bermula pada jam 11.30 pagi.

Program yang berlangsung selama sejam itu mengalunkan bacaan Surah Al-Sajdah yang diketuai oleh Muhd Azhim Bahrudin dari ayat 1 hingga 15 dan Saef El Taufiq Samiaun (ayat 16 hingga 30).

Sebanyak dua kali sesi tadabbur dilakukan yang disampaikan oleh ustaz jemputan, Umar Abdul Aziz.

Umar ketika sesi tadabbur dalam program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda pada Selasa.

Umar ketika sesi tadabbur dalam program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda pada Selasa.

Umar berkata, pemilihan Surah Al-Sajdah bertepatan dengan tema sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 yang bakal disambut pada Rabu.

Katanya, Surah Al-Sajdah membawakan mesej kepada manusia supaya tidak sombong dan sentiasa sujud kepada ALLAH SWT sebagai seorang hamba-Nya.

“Maksud merdeka dalam konteks semasa ia diisytiharkan dulu adalah merdeka mengikut Rasul dan kehendak ALLAH SWT.

“Orang yang sombong akan mengikut kehendak diri serta mengabaikan mengikut ajaran ALLAH SWT dan Rasul.

“Maka kemerdekaan yang sebenar terletak dalam surah tersebut iaitu tidak sombong, sabar, memperbanyakkan sedekah dan sujud (kepada ALLAH SWT),” katanya.

Malaysia #QuranHour kali kelapan yang berlangsung di lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Selasa mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan sempena Hari Kebangsaan 2022 secara serentak di seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Sebanyak 1,826 lokasi didaftarkan untuk penganjuran Malaysia #QuranHour di dalam negara dan satu lokasi di luar negara iaitu Brunei.


Sumber