Farisha Iris elak gimik murahan ‘Baek’

Pemilik nama Farisha Iris ini tidak pernah jemu untuk memperkenalkan bakat nyanyian yang dimiliki. Baginya, itu adalah minat dan sudah sebati dalam diri.

Seperti mana tingginya cita-cita yang ingin digapai, begitu juga besarnya harapan Farisha, 22, atau nama sebenarnya Farisha Asmadi untuk terus memperjuangkan muzik dan kerjaya seninya.

Pun begitu, laluan Farisha bukan mudah biarpun sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian termasuk program realiti Big Stage musim ketiga yang lalu. Bagi Farisha, dia tetap berpegang pada prinsip yang mana tidak akan berputus asa.

Termasuk juga apabila bercakap soal sengaja mencipta gimik murahan semata-mata bagi mempopularkan lagu dan diri mereka. Farisha mengakui, itu bukan cara yang sepatutnya diambil seseorang penyanyi selain tidak gemar dengan pendekatan itu.

“Pendekatan saya supaya orang sayang dan hargai bakat saya adalah kena letakkan usaha yang lebih dari segi bakat, dari segi pemilihan lagu dan tambahkan pengalaman dalam industri. Sekarang, saya terfikir juga untuk teruskan ambil kelas vokal supaya makin bertambah baik.

“Mungkin, saya juga kena cuba bakat lain selain menyanyi iaitu berlakon atau mengacara, mana tahu. Sebab kita tak tahu pada akhirnya nanti apa yang sesuai dan sebati dengan diri sendiri. Andai kata saya tidak ada rezeki dalam nyanyian, tidak raih ramai pendengar, saya terbuka untuk cuba bidang lain,” katanya.

“Cabaran merakamkan lagu ini adalah, saya kena sesuaikan diri dengan genre pop, sebab bunyi lagu ini sangat urban dan lebih kepada penceritaan. Walaupun, bunyi macam senang nak nyanyi, tapi saya berasakan ada cabaran dari segi vokal. Nak rakam dalam studio agak susah, kena ada stamina dan teknik vokal yang baik. Apatah lagi menyanyi secara langsung.

Ditanya berkenaan kolaborasi dengan rapper Alan D, menurut Farisha dia teruja apatah lagi pernah mendengar lagu nyanyian Faizal Tahir bersama Alan D.

“Apabila kali pertama saya diberitahu dapat ‘featuring’ dengan Alan D, secara automatik saya teringat lagu Alan D bersama Faizal Tahir iaitu Luka Hati. Macam kebetulan sebab saya suka mendengar lagu itu. Tambahan lagi, saya juga teruja apabila dapat tahu lagu Baek ini ada bahagian. Jadi, ini satu peluang yang besar untuk saya dan Alan D untuk menghiburkan dan hargai bakat yang kami ada.

“Jadi, harapan saya untuk single terbaru ini agar ia mendapat maklum balas dan sambutan yang baik dari semua peminat saya dan pendengar. InsyaAllah saya akan terus menghiburkan semua orang,” katanya.

Sementara itu, Alan D mengakui senang bekerjasama dengan Farisha

“’Attitude’ dan sikap Farisha yang sentiasa positif dan berfikiran terbuka membuatkan lagu ini menjadi. Saya amat senang hati dan gembira dengan tenaga dan aura yang farisha bawa ketika rakaman lagu di studio dan video muzik. Dia juga seorang yang aktif dan penuh dengan semangat.

“Bagi saya, lagu ini sebuah lagu yang orang ramai atau pendengar boleh kaitkan dengan kehidupan seharian. Selain itu saya dan Farisha mempunyai suara yang unik di mana lagu ini amat sesuai dengan suara dan ‘tone’ kami. Genre lagu ini kotemporari hip hop. Tambahan pula bahagian korus lagu ini menarik dan ‘catchy’ senang untuk pendengar menyanyi bersama,” katanya.

Dalam masa sama, Alan D berharap lagu Baek ini diterima baik peminat muzik tanah air.

“Harapan saya, apabila orang mendengar lagu ini akan ikut bersama menyanyi dan sekaligus menghayati setiap bait lirik. Saya harap setiap pasangan bercinta, atau dalam perhubungan mahu pun sudah berkahwin, sayang antara satu sama lain dan jaga baik baik pasangan anda. Hargai pasangan anda dan buktikan sayang itu,” katanya.