KK Super Mart raikan pemenang

KK Super Mart raikan pemenang

SHAH ALAM – KK Super Mart meraikan pemenang peraduan rekaan dalam talian anjurannya, KK-Reate My Bag yang berjaya membawa pulang baucar tunai bernilai RM1,000 baru-baru ini.

Pengasas dan Ketua Eksekutif KK Supermart Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pemenang yang diraikan ialah Noranita Md Noh, 38, yang menghasilkan kreativiti menarik dengan mereka beg kitar semula.

“Kami menerima sebanyak 152 hasil rekaan yang menarik dan penuh kreativiti. Juri telah meneliti setiap hasil rekaan dengan cermat dan memandang berat setiap aspek pemilihan pemenang,” katanya dalam satu kenyataan.

KK Chai berkata, objektif utama penganjuran peraduan itu ialah memberi kesedaran terhadap penggunaan beg plastik yang merupakan salah satu faktor utama pencemaran di Malaysia.

“Peraduan ini juga untuk mencungkil bakat atau kemahiran seni reka rakyat Malaysia. KK-reate My Bag merupakan sebuah peraduan seni reka beg guna semula bertemakan Beg ‘Chapalang’ atau serba guna dalam bahasa Hokkien,” katanya.

Beliau berkata, peraduan itu dianjurkan selama sebulan bermula 1 November sehingga 30 November 2021 dan terbuka kepada umum berumur 18 tahun ke atas serta rekaan beg boleh dihantar melalui pelbagai cara sama ada lukisan atau menggunakan perisian ilustrasi.

“Kami yakin penganjuran seperti ini dapat memberi impak kepada rakyat Malaysia dalam menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia.

“KK Super Mart sentiasa menyokong produk lokal kerana kami yakin bahawa produk buatan Malaysia adalah setanding dengan produk import tetapi pada harga yang lebih berpatutan. Lebih istimewa, ianya direka sendiri oleh rakyat Malaysia yang berbakat besar,” katanya.

Pemenang peraduan ini bukan sahaja membawa pulang baucar tunai berjumlah RM1,000 malah rekaan tersebut akan digunakan di atas beg guna semula yang bakal dipasarkan di seluruh outlet KK Super Mart di seluruh di Malaysia bermula Mac 2022.

Sumber