Dakyah ‘doktor antivaksin’

SOALAN 1

Doktor, benarkah suntikan vaksin MMR (Mumps, Measles and Rubella) terlalu rapat dan boleh membahayakan? Saya keliru bila ada kumpulan ‘doktor antivaksin’ membuat kenyataan sedemikian. Boleh doktor jelaskan? – Hidayah Mohd Said, 35, Ampang, Selangor

Jawapan:

Dalam masa seluruh komuniti kesihatan sedang risau kerana peningkatan kes measles di Malaysia dan kematian akibat measles, ada ‘geng doktor antivaksin’ terus menyebarkan maklumat yang dimanipulasi bagi menakut-nakutkan masyarakat tentang vaksin.

Mereka kongsikan ‘kerisauan’ tentang vaksin MMR. Katanya jadual imunisasi baru, MMR diberi terlalu rapat dan berkongsi pula konon ada kesan sampingan dari MMR.

Buat geng doktor antivaksin ini, kalau betul risau, mereka seharusnya tanya pada sahabat-sahabat doktor yang lebih pakar dalam isu ini, bukannya buat pos di FB konon-konon risau, tapi sebenarnya nak sebar dakyah antivaksin supaya boleh promosi produk.

Measles adalah penyakit yang amat mudah berjangkit dan menjadi wabak. Jika seseorang itu dijangkiti, kemungkinan orang terdekat dijangkiti sama adalah lebih 90 peratus. Tanpa kekangan, ini akan menjadi wabak.

Measles bukan demam campak biasa. 1 dari 10 akan mengalami jangkitan telinga, yang mana boleh mengakibatkan pekak. 1 dari 10 juga boleh mengalami cirit birit dan pada kanak-kanak kecil, ia boleh mengakibatkan dehidrasi dan kematian. 1 dari 20 akan mendapat jangkitan paru-paru dan inilah punca utama kematian akibat measles.

Malah, 7 ke 10 tahun lepas dijangkiti measles, masih ada risiko komplikasi seperti SSPE, iaitu Subacute sclerosing encephalitis. Ia adalah satu komplikasi measles yang boleh mengakibatkan sawan dan kecacatan otak.

Bagi menghalang jangkitan measles di Malaysia, vaksin MMR dan measles (di Sabah) dimasukkan dalam jadual imunisasi kebangsaan.

Bagi mendapatkan imuniti terhadap measles, sekurang-kurangnya dua suntikan perlu diberi. Rujuk pada graf dan jadual, ia dikenali sebagai MCV 1 dan MCV 2.

Di samping itu, wujud satu program dikenali sebagai supplementary immunization activity atau SIA, sejenis program imunisasi yang diberi secara rawak bergantung pada keadaan semasa.

Di Malaysia, perang melawan measles sudah lama berlaku. Dulu sasaran kita mahu hapuskan measles pada 2010.

Namun, sebab kesukaran mendapatkan vaksinasi di kawasan pedalaman, sasaran ini disemak kembali dan dianjak ke 2022.

Tapi bila datang pula geng antivaksin, ada kemungkinan besar, sasaran ini tidak dapat dicapai.

Pada April 2016, KKM menukar jadual imunisasi MMR. Sebelum itu MCV 1 diberi pada 12 bulan dan MCV 2 pada 7 tahun. Namun pada 2015, kes measles meningkat secara mendadak. Ini dilihat sejajar dengan penurunan coverage MCV 1 akibat penolakan vaksin pada bayi.

Kalau kita banding, MCV 1 pada era itu hanya dalam 93 peratus berbanding MCV 2 yang diberi pada kanak-kanak sekolah (darjah 1) yang mencapai 99 peratus.

Ini kerana, ibu bapa antivaksin tak bawa anak dia ke klinik untuk vaksinasi, tapi bila masuk sekolah, anak masih disuntik.

Tapi sekarang, geng antivaksin sudah melampau, sampai nak masuk sekolah pun mereka tolak vaksin. Ini menimbulkan risiko wabak measles akan makin menjadi-jadi.

Oleh itu, KKM mengambil keputusan mengawalkan MCV 1 pada 9 bulan, dan MCV 2 pada 12 bulan. Ini bagi memastikan liputan imuniti terhadap measles dicapai lebih awal.

Kena ingat, satu dos tak cukup. Kena dua dos. Ini sesuai dengan saranan WHO dan pengeluar vaksin itu sendiri.

‘Doktor anti vaksin’ ini kata bayi tak dapat imuniti kalau diberi terlalu awal. Dia salah faham. Kalau diberi sebelum 6 bulan baru lah tak ada imuniti dijana sebab ada neutralizing antibody dalam badan bayi waktu itu.

Sebab itu KKM suruh beri pada usia 9 bulan. Memang pemberian pada 9 bulan tidak menjana immuniti penuh, sebab itu sejajar dengan saranan pengeluar vaksin itu, suntikan seterusnya diberi pada 12 bulan.

Ini supaya sehingga usia satu tahun, anak itu sudah dilindungi dari measles. Kalau kita lewatkan lagi, risiko jangkitan itu lebih tinggi. Perlu diingat, komplikasi measles lebih kerap berlaku pada bayi yang kecil!

Mitos masalah perkembangan otak pada kanak-kanak di-vaksin

Saolan 2

Doktor, betul ke tiada kes masalah perkembangan otak pada kanak-kanak anti vaksin? Ramai anti vaksin kata, anak mereka yang tidak divaksin lebih sihat dan tak ada masalah perkembangan seperti autisme. Kata mereka lagi, bilangan anak yang ada autisme dalam kalangan mereka divaksin lebih tinggi berbanding dalam kalangan anti vaksin? – Shahriza Sulaiman, 42, Bukit Katil, Melaka

Jawapan:

Ini mitos, dibongkar lama dah. Penjelasan matematik mudah saja. Bilangan yang menolak vaksin di dunia ini secara relatifnya lebih rendah berbanding yang menerima vaksin.

Kalau ikut kajian dan epidemiologi, kadar autisme di US adalah lebih kurang 60 dalam 10 000 kelahiran. Dan kajian pada 1.2 juta kanak-kanak menunjukkan tak ada beza kadar autisme dalam yang divaksin dan tidak divaksin.

Jadi kenapa nampak anak-anak anti vaksin ni tak ramai ada autisme? OK, contoh kita ambil satu populasi ada 10 000 orang, katakan yang tolak vaksin adalah 2,000 orang iaitu lebih kurang 20 peratus dari populasi semua.

Kebarangkalian untuk dapat autisme adalah 0.0066 peratus. Daripada 2 000 orang yang tidak divaksin, 13 akan dapat autisme. Daripada 8 000 orang divaksin pula, 53 orang akan dapat autisme.

Itu kalau ambil 20 peratus yang tolak vaksin. Kalau lagi kecil peratusan diambil, silap-silap seorang dua saja yang ada autisme dalam golongan anti vaksin.

Maka, melompatlah geng anti vaksin kata vaksin menyebabkan autisme, sebab kes autisme lagi banyak dalam mereka yang menerima vaksin. Walhal mereka tak sedar, peratusannya kes masih sama.

Itu kalau hendak bercakap statistik. Kalau nak tengok secara realiti, sebenarnya ada saja anak anti vaksin yang kena autism. Di barat, sudah ada kumpulan yang menolak vaksin tetapi anak mereka masih autism.

Jadi jangan ingat kalau tolak vaksin, anak anda tak kena autisme. Vaksin tak menyebabkan autisme. Malah ada kajian menunjukkan autisme berkait rapat dengan jangkitan rubella semasa mengandung.

Profail Dr Megat Mohamad Amirul Amzar

Kini bertugas sebagai Pegawai Perubatan Sarjana di Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya. Bergiat aktif melalui NGO Medical Mythbusters Malaysia, M3 dalam menangkis mitos perubatan khususnya berkaitan vaksinasi dan pergerakan anti vaksin.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *