Bursa Malaysia meningkat – Sinar Harian

Bursa Malaysia meningkat – Sinar Harian

BURSA Malaysia dibuka lebih tinggi pada sesi awal Jumaat, didorong oleh belian bagi saham wajaran tinggi terpilih serta di tengah-tengah pemulihan sentimendi pasaran serantau, kata peniaga.

Pada jam 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.66 mata kepada 1,417.26 daripada 1,415.60 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks tersebut dibuka susut 0.31 mata kepada 1,415.29.

Di pasaran secara amnya positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 124 berbanding 115 manakala 240 kaunter tidak berubah, 1,837 tidak diniagakan dan 15 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 118.21 juta unit bernilai RM50.95 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pelabur berkemungkinan menumpukan pemangkin domestik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) bagi mencari peluang dagangan.

“Pelabur juga mungkin memberi tumpuan kepada syarikat dengan asas kukuh yang meraih pertumbuhan pendapatan dalam tempoh dua suku lepas,” katanya dalam nota tinjauannya, hari ini.

Firma pembrokeran itu juga menyifatkan saham-saham berkaitan tenaga, pembinaan, hartanah dan bahan binaan akan mendapat manfaat daripada NETR dan NIMP ketika pelabur terus mengambil kedudukan menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini.

“Bagaimanapun, sektor tenaga mungkin berdepan tekanan berikutan kejatuhan harga minyak,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun satu sen kepada RM8.75, Public Bank naik satu sen kepada RM4.05, CIMB menokok dua sen kepada RM5.43 manakala Tenaga Nasional dan Petronas tidak berubah pada RM9.96 dan RM7.10.

Bagi saham aktif, Kinergy Advancement dan Econpile masing-masing meraih setengah sen kepada 34 sen dan 32 sen, Southern Cable menokok 1.5 sen kepada 38 sen, Tanco tidak berubah pada 55 sen dan Sarawak Consolidated turun setengah sen kepada 49 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 8.63 mata kepada 10,502.42, Indeks FBMT 100 meningkat 8.10 mata kepada 10,170.39 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 9.31 mata kepada 10,789.56.

Indeks FBM ACE meningkat 11.68 mata kepada 5,123.32 manakala Indeks FBM 70 susut 5.37 mata kepada 13,984.70.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.19 mata kepada 170.10, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 18.24 mata kepada 15,881.91, Indeks Tenaga naik 1.27 mata kepada 848.0 manakala Indeks Perladangan susut 0.64 mata kepada 6,836.97.

— BERNAMA

TAG: Bursa Malaysia, buka, Malacca Securities, Belanjawan 2024

Sumber