BNM perlu kaji struktur khas pinjaman rumah B40, M40

CADANGAN agar Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula sistem pinjaman bank kepada skim rumah mampu milik adalah tepat pada masanya.

Ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menyuarakan mahukan satu sistem pinjaman bank yang berbeza dengan sistem pinjaman perumahan untuk rumah mewah atau bebas pada awal Februari lalu.

Malah dalam beberapa mesyuarat turut memutuskan BNM tidak boleh membenarkan pihak bank membuat keputusan bagi menentukan kelayakan pinjaman bank dan tahap boleh bayar balik pinjaman kepada peminjam.

Satu mekanisme perlu dikaji bagi memastikan golongan B40 dan M40 memiliki rumah sendiri setidak-tidaknya satu rumah mampu milik sepanjang hayat mereka.

Bagi penganalisis, isu kelayakan pinjaman bank dan tahap boleh bayar balik pinjaman kepada peminjam sepatutnya telah lama diselesaikan kerana ia merupakan satu isu sosial yang boleh menjejaskan tahap hidup rakyat negara ini.

BNM mungkin perlu merangka satu sistem pelaksanaan pembiayaan sosial ataupun satu institusi kewangan khas bagi menangani isu pinjaman rumah babitkan golongan B40 dan M40.

Sebelum ini ada beberapa pihak mencadangkan agar Bank Perumahan diwujudkan dengan membabitkan kerjasama beberapa pihak kerajaan tempatan atau pihak swasta.

Gabungan ini dikatakan boleh membantu dari segi kos kerana kos tanah yang tinggi adalah punca rumah mampu milik tidak sepadan dibina di kawasan bandar.

Dan jika kos tanah dan kos bahan binaan di bawah kawalan kerajaan dapat dikawal sudah pasti kos pembangunan projek lebih rendah berbanding kaedah komersial biasa yang dipraktikkan sebelum ini.

Ini sekali gus membolehkan harga rumah mampu milik akan dapat disediakan pada kadar yang lebih bertimbang rasa sejajar jumlah pendapatan B40 dan M40.

Apa yang pasti jumlah bayaran bulanan pinjaman tentunya kecil dan mudah dari segi kelayakan pembiayaan untuk memiliki rumah.

BNM perlu merangka model pembiayaan yang dikatakan mesra peminjam berbeza dengan bank komersial.

Adalah sukar bergantung kepada bank komersial kerana mereka ada komitmen mengekalkan margin keuntungan kepada pihak pendeposit, pemegang saham dan pihak berkepentingan lain yang perlu disantuni berbanding golongan B40 dan M40.

* Meor Shahrom ialah Ketua Unit Meja Bisnes

Sumber