Bilik pameran kereta mewah di Jalan Ampang

Bilik pameran kereta mewah di Jalan Ampang

DUA pengimport dan Persatuan Pengimport dan Penjual Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Medan Quantum Sdn Bhd dan Perniagaan Shirba Sdn Bhd telah melancarkan bilik pameran baharu yang terletak di Jalan Ampang.

Bilik pameran dua tingkat ini berkeluasan 25,000 kaki persegi yang memberikan bilik pameran yang cukup luas dan selesa bagi menampung pelbagai jenama kereta untuk dipamerkan dalam satu-satu masa seperti Lamborghini, Porsche, Toyota, Honda dan Mercedes Benz.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abd Rahman berkata, objektif Pekema adalah untuk menyokong dan menggalakkan usahawan Bumiputera yang bercita-cita untuk menjalankan perusahaan dan meningkatkan ekonomi menerusi perdagangan kenderaan.

“Kami sangat gembira dan bangga atas kejayaan melancarkan dua bilik pameran baharu iaitu Medan Quantum dan Perniagaan Shirba.

“Kejayaan ini dicapai dengan matlamat kami. Kami yakin pertumbuhan daripada kedua-dua syarikat ini akan menguatkan dan memotivasikan ahli-ahli lain dan orang ramai di luar sana agar dapat berganding bahu dengan barisan pentadbiran Pekema bagi merealisasikan matlamat membina keunggulan dan keutuhan pengusaha Bumiputera serta menyerlahkan wibawa anak bangsa dalam dunia keusahawanan,” ujarnya.

Untuk meraikan kejayaan mereka, kedua-dua syarikat itu telah bergabung untuk menjadi tuan rumah pembukaan dan jualan grand karnival di bilik pameran baharu mereka.

Karnival ini menampilkan artis tempatan Bil Musa dan hadiah menarik cabutan bertuah seperti TV LED, telefon pintar dan konsol permainan.

Setelah lebih 30 tahun Pekema menceburkan diri dalam dunia perniagaan automotif, pelbagai rintangan dan cabaran telah dilalui dan tidak kurang juga kejayaan yang dikecapi.

Pengalaman ini telah mematangkan para pengusaha Bumiputera dan menjadikan mereka sentiasa bersiap-siaga dan kekal bertahan dalam industri yang tidak menentu dan serba mencabar ini. Pastinya memerlukan tahap ketahanan dan persaingan lebih sengit, bukan sahaja kecekalan yang diperlukan tetapi juga peningkatan pengetahuan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *