Bersujud jadi formula mudah hadapi cabaran hidup

Bersujud jadi formula mudah hadapi cabaran hidup

Shaykh Mizanur Rahman Azhari

Shaykh Mizanur Rahman Azhari

KUALA LUMPUR – Bersujud menjadi satu formula mudah kepada setiap manusia di atas muka bumi untuk menghadapi apa sahaja cabaran hidup.

Pendakwah dari Bangladesh, Shaykh Mizanur Rahman Azhari berkata, sujud juga merupakan satu rukun dalam solat.

“Posisi sujud adalah waktu yang paling dekat antara kita dengan ALLAH SWT dan sebab itu kita digalakkan berdoa dengan sebanyak-banyaknya kerana hati kita sangat akrab dengan-Nya.

“Bila hubungan kita dengan ALLAH SWT akrab, jadi apa sahaja cabaran atau masalah yang datang akan mampu kita hadapi dengan tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ”Sujud: Formula Ilahi Untuk Menghadapi Cabaran’ sempena program World #QuranConvention (WQC) 3.0 bertajuk ‘Coping With Challenges Surah Al-Sajdah’ di sini pada Sabtu.

Shaykh Mizanur menjelaskan, oleh itu sujud menjadi solusi terbaik dalam membantu umat Islam keluar daripada apa sahaja perkara yang membelenggu diri mereka.

“Jadi tak kiralah apa sahaja masalah yang dihadapi seperti masalah di sekolah, kerjaya dan bisnes boleh kita hadapi dengan bersujud dan ‘memohon doa’ kepada-Nya,” ujar beliau.

Tambah Shaykh Mizanur, ketika dalam kedudukan sujud juga, manusia akan merasakan diri mereka hanya makhluk biasa sekali gus menimbulkan rasa rendah diri dan tidak bongkak dengan kelebihan diri.

Selain itu, katanya, sujud juga memberi manfaat dari segi kesihatan kerana ketika berada di kedudukan berkenaan tujuh tulang anggota badan iaitu dahi dan bahagian atas hidung, dua telapak tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki berada di kedudukan paling bawah.

“Dari segi kesihatan, pengaliran oksigen dalam badan bagus, mudah mengingat sesuatu di samping ia juga akan memberi rasa relaks,” jelasnya lagi.

Sumber