Siti Nafisah memberitahu masak lemak siput sedut merupakan antara sajian yang paling laris dijual di Bawwang Cafe.
BAWWANG Cafe tampil dengan mengetengahkan konsep tiga dalam satu yang mana ia berbeza dengan kebanyakan kedai kerana menyajikan makanan kampung, pemanis mulut dan kopi.
Menurut pemilik kafe, Siti Nafisah Abdullah, 29, konsep berkenaan diperkenalkan kerana mahu memudahkan orang ramai mendapatkan sajian lengkap tanpa perlu ke kedai lain.
“Kami menyajikan masak lemak siput sedut, daging salai, asam pedas, ayam dan ikan berlado. Di kawasan sekitar, kami mendapati tidak banyak kedai yang menyediakan masakan kampung.
“Pelanggan juga boleh memilih apa sahaja yang mereka inginkan sama ada mahu menikmati hidangan berasaskan nasi atau hanya menikmati kek dan kopi,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Tambah Siti Nafisah, masak lemak siput sedut dan ayam berlado merupakan antara sajian yang paling laris di kafe itu.
Dalam pada itu, usahawan wanita berkenaan turut berkongsi tujuan utama kafe itu dibuka adalah untuk mengukuhkan dan mengembangkan lagi perniagaan dan jenama sedia ada.
“Sebelum ini kami pernah mencuba bermacam jenis perniagaan antaranya menjual biskut dan kek. Sehingga kini perniagaan itu masih ada, namun sambutannya tidak hangat seperti ia mula-mula diperkenalkan.
“Oleh sebab itu, kami membuka kafe yang mengetengahkan konsep jualan hidangan berasaskan nasi dengan tarikan lauk dari Negeri Sembilan,” jelasnya.
Ujarnya, orang ramai yang merindukan sajian kampung atau air tangan ibu, boleh cuba untuk menikmati hidangan berkenaan di Bawwang Cafe.