Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Gambar hiasan - Foto Bernama

Gambar hiasan – Foto Bernama

RINGGIT dijangka diniagakan antara paras 4.54 dan 4.55 dengan kecenderungan meningkat meningkat minggu depan disebabkan para pelabur menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC).

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mesyuarat FOMC yang akan diadakan pada 25-26 Julai dijangka mengumumkan kenaikan 25 mata asas dalam Kadar Dana Persekutuan (FFR).

“Walaupun ia telah pun ditetapkan, penilaian terbaru mereka mengenai keadaan ekonomi semasa adalah faktor utama yang akan memacu pasaran pertukaran asing. Ia juga akan menentukan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) ketika kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global telah meningkat.

“Di satu pihak, kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang lebih lemah akan menghasilkan dolar AS lebih tinggi apabila pelabur mencari perlindungan dengan mendapatkan dolar (mata wang selamat).

“Sebaliknya, Rizab Persekutuan (Fed) mungkin mahu menukar pendiriannya sebagai persediaan untuk pengurangan FFR yang mungkin akan berlaku tahun depan.

“Oleh itu, sekiranya Fed menurunkan kadar faedah, ringgit boleh bergerak ke arah paras sokongan segera pada RM4.5491,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas minggu ke minggu, ringgit lebih rendah berbanding dolar AS kepada 4.5600/5655 pada Jumaat daripada 4.5255/5280 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.8669/8740 daripada 5.9338/9371 sebelumnya, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2185/2229 daripada 3.2659/2679 dan melonjak berbanding euro kepada 5.0735/0796 daripada 5.0799/0827 sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang rakan ASEAN.

Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4304/4350 daripada 3.4263/4287 minggu sebelumnya dan jatuh berbanding baht Thai kepada 13.2327/2541 daripada 13.0689/0814.

Ia menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/303.9 daripada 302.5/302.8 sebelumnya dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.33/8.34 daripada 8.31/8.33 pada Jumaat lepas. – Bernama

Sumber