Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan (RnD) WUIF, Muhammad Iqbal Mohd Rosdi berkata, ‘flash mob’ tersebut yang diadakan pada Jumaat lalu bertujuan membawa mesej yang terkandung dalam misi World #QuranHour pada tahun ini iaitu surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan.
Ujar Muhammad Iqbal, pentas program Iftar Ala [email protected] telah dijadikan sebagai tempat ‘flash mob’ dengan membawa mesej World #QuranHour supaya ia dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada orang ramai yang datang ke sana.
“Keunikan ‘flash mob’ ini adalah kita membawakan mesej ‘simple’ (ringkas) tetapi senang dihadam.
“Diharapkan dengan flash mob ini orang akan mudah ingat dengan ‘key point’ (titik penting) yang kita ingin bawa dalam surah Al-Sajdah itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Muhammad Iqbal memaklumkan seramai 20 orang sukarelawan dari UiTM Shah Alam daripada pelbagai jurusan telah menyertai ‘flash mob’ berkenaan.
Tambahnya, perkara utama yang dibawakan dalam mesej surah Al-Sajdah melalui gerakan ‘flash mob’ itu ialah yakin iaitu memupuk keyakinan orang ramai terhadap ALLAH SWT dan al-Quran.
“Kemudian dengan keyakinan itulah, kita semakin tunduk dan semakin sujud kepada ALLAH SWT bahawa ALLAH SWT akan mengatur kehidupan kita dan kita mengikut arahanNya seperti yang terkandung di dalam al-Quran.
“Yang ketiga, dengan kita mengakui bahawa ALLAH SWT adalah segala-galanya, kita tidak menjadi sombong kepada orang, alam dan paling penting kepada ALLAH SWT,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Amirah Safiah Shaharuddin, 22, mengakui berbesar hati kerana dijemput untuk bersama-sama dengan WUIF menyertai ‘flash mob’ di Kompleks Karangkraf.
Amirah Safiah berkata, ia merupakan satu pengalaman yang amat bermakna menjadi sebahagian daripada komuniti dalam menjayakan serta mempromosikan World #QuranHour pada tahun ini.
“Insya-ALLAH apa yang semua sukarelawan harapkan adalah kami dapat sampaikan mesej yang memang menepati objektif program ini untuk menggalakkan orang ramai membaca al-Quran termasuk surah Al-Sajdah untuk tahun ini,” menurutnya.
Sementara itu, program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang diadakan bermula 4 April lalu sehingga 29 April ini turut memberi peluang kepada orang ramai merasai suasana berbuka puasa seperti berada di Masjid Nabawi.
Orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam program berbuka puasa ala Madinah boleh membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya dengan menghubungi sekretariat di talian 019-2133315.