Masjid Abidin bergema surah Al-Sajdah

Masjid Abidin bergema surah Al-Sajdah

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Suasana Masjid Abidin (Masjid Negeri Terengganu) di sini bergema dengan alunan bacaan Surah Al-Sajdah sempena program World#QuranHour 2022 yang diadakan secara serentak di seluruh negara pada jam 12 tengah hari pada Selasa.

Lebih 400 peserta hadir ke majlis berkenaan yang bermula jam 11.30 pagi itu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rozali Salleh.

Majlis dimulakan dengan alunan selawat dan qasidah sebelum bacaan surah Al-Sajdah oleh imam khas Masjid Abidin, Syeikh Dr Mohamed Abdel Hamid Kulaib Al-Azhari Al-Misri dan Ahli Panel Klinik Hukum Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Mohd Hanafiah Hussin sebagai pentadabbur.

Dr Syed Mohammad Salleh (kanan) bersama jemputan sedang membaca Surah Al-Sajdah pada program World#QuranHour di Masjid Abidin.

Dr Syed Mohammad Salleh (kanan) bersama jemputan sedang membaca Surah Al-Sajdah pada program World#QuranHour di Masjid Abidin.

Pengerusi Ahli Lembaga Masjid Abidin, Datuk Dr Syed Mohammad Salleh Syed Yusof Al Zawawi berkata, ini merupakan kali pertama Masjid Abidin menganjurkan program World#QuranHour dengan kerjasama rakan sinergi yang lain.

“Program ini satu idea yang bagus dalam usaha mendekatkan al-Quran dalam diri kita dan masyarakat lengkap dengan tadabbur dan kefahaman ayat.

“Harapan kita program ini dapat diadakan lagi di sini pada masa akan datang untuk manfaat rakyat,” katanya ketika ditemui pada World#QuranHour 2022 di Masjid Abidin di sini pada Selasa.

Lebih 400 peserta hadir bagi menjayakan World#QuranHour 2022 di Masjid Abidin di Kuala Terengganu pada Selasa.

Lebih 400 peserta hadir bagi menjayakan World#QuranHour 2022 di Masjid Abidin di Kuala Terengganu pada Selasa.

Masjid Abidin merupakan salah satu daripada empat lokasi utama program World#QuranHour di Terengganu selain Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang); Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Masjid Jamek, Kijal, Kemaman.

Program ini dianjurkan Masjid Abidin dengan kerjasama Rumah Ngaji Negeri Terengganu dan Kumpulan Perlibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta Kuala Terengganu.

Ia mendapat penglibatan peserta dari MBKT, Yayasan Terengganu, Polis Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali dan pelajar Madrasah Al-Muhajirin Bukit Jong, Tahfiz Ar-Rusd, Madrasah Ar-Rahmah.

World #QuranHour diadakan serentak seluruh negara pada Selasa bersamaan 24 Ramadan 1443H.

Ia merupakan sebuah gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis (Thematic & Reconstruct) dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia.

Surah Al-Sajdah dipilih untuk dikaji dan dibumikan bersempena World #QuranHour 2022. Matlamat Surah Al-Sajdah adalah menjadi panduan untuk penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi & Penyayang.

Sumber