BANK Rakyat menerbitkan RM1.5 bilion Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) Sukuk Wakalah melalui syarikat tujuan khas (SPV) Imtiaz Sukuk II Berhad.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, terbitan itu dilaksanakan menerusi proses pembinaan buku pada 21 April 2022 di bawah Program Sukuk Wakalah sehingga RM10 bilion yang diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Bhd.
“Terbitan ini merangkumi dwi-tranche iaitu RM700 juta untuk tempoh lima tahun dan RM800 juta untuk tempoh tujuh tahun yang mana diterbitkan pada 12 Mei 2022.
“Bank berkenaan juga berjaya mengumpul permintaan yang baik bagi Sukuk Wakalah Senior mereka dengan nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 1.30 kali daripada jumlah akhir terbitan,” jelas kenyataan itu pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, hasil yang terkumpul daripada terbitan itu akan dimanfaatkan oleh bank bagi tujuan keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan umum, menyediakan pembiayaan dan tujuan korporat am.
“Maybank Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad dilantik sebagai pengurus utama bersama dan pengatur utama terbitan buku bagi program Sukuk Wakalah tersebut,” kata kenyataan itu.
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang