Kenaikan OPR tidak jejas pertumbuhan pinjaman

Kenaikan OPR tidak jejas pertumbuhan pinjaman

KUALA LUMPUR – Firma penyelidikan menyifatkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas yang lebih awal daripada jangkaan kepada 2.0 peratus tidak memberi impak kepada pertumbuhan pinjaman bank walaupun situasi tidak menentu dijangka berlaku dalam jangka pendek.

MIDF Research mengekalkan saranan positif terhadap sektor perbankan berikutan dividen dan pendapatan perbankan bersedia menerima manfaat daripada kenaikan Margin Faedah Bersih (NIM).

“Kami tidak menjangka sebarang penurunan ketara pertumbuhan pinjaman dalam masa terdekat berikutan petunjuk utama masih kukuh (pertumbuhan permohonan pinjaman pada Mac 2022: peningkatan 4.6 peratus tahun ke tahun, naik 47.8 peratus bulan ke bulan) dan trend pemulihan yang teguh bagi permintaan pengguna dan korporat,” katanya menerusi nota penyelidikan.

MIDF berkata, pendapatan dan tawaran dividen penggiat perbankan bersedia menerima manfaat daripada NIM yang lebih tinggi.

“Sebarang potensi impak negatif ke atas permintaan pinjaman dan pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) dijangka minimum.

“Selain itu, kami masih optimis dengan unjuran peserta industri perbankan yang akan disokong oleh kos kredit lebih rendah pada 2022, potensi masuk kira semula kredit pada 2023 dan permintaan pinjaman yang lebih kukuh,” katanya.

Kenanga Investment Bank mengekalkan penarafan semalaman terhadap sektor perbankan memandangkan dasar monetari yang ketat dijangka membendung kesan inflasi daripada harga komoditi yang tidak menentu baru-baru ini dan gangguan rantaian bekalan.

“Tidak dinafikan ia memberi kebaikan kepada institusi kewangan kerana boleh menetapkan harga pada kadar lebih tinggi dan meningkatkan pendapatan. Kami tidak yakin bahawa kenaikan itu akan menjejaskan ekonomi tempatan setakat ini, berikutan kualiti aset industri dilihat masih boleh diuruskan selepas moratorium,” katanya.

Dalam pada itu, AmInvestment Bhd mengekalkan penarafan beli lebih kepada sektor perbankan dan kekal positif terhadap sektor itu berikutan kitaran peningkatan kadar faedah yang akan memanfaatkan bank, antaranya dari segi pendapatan faedah.

“Kami juga meramalkan satu lagi kenaikan sebanyak 25 bps, menjadikan OPR lebih tinggi kepada 2.25 peratus pada separuh kedua 2022 daripada 2.0 peratus pada masa ini,” katanya.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata, walaupun terdapat situasi yang tidak menentu dalam jangka pendek, bermulanya kitaran normalisasi kadar dan pemulihan ekonomi secara beransur-ansur akan menghasilkan kualiti aset yang lebih baik, pertumbuhan pinjaman dan pengembangan margin — kesemuanya manfaat jangka sederhana ke atas sektor itu.

“Walaupun kami mengekalkan saranan neutral terhadap sektor ini, ia terus berada dalam kecenderungan positif,” katanya. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber