Axiata, XL Axiata selesai ambil alih 66.03 peratus saham Link Net

SHAH ALAM – Syarikat telekomunikasi terkemuka, Axiata Group Berhad (Axiata) dan PT XL Axiata Tbk (XL Axiata) berjaya menyelesaikan pengambilalihan gabungan sebanyak 66.03 peratus kepentingan ekuiti dalam PT Link Net Tbk (Link Net) bernilai RM2.63 bilion.

Selepas selesai pengambilalihan itu, anak syarikat milik penuh tidak langsung Axiata, Axiata Investment (Indonesia) Sdn Bhd dan XL Axiata masing-masing memegang 46.03 peratus dan 20.00 peratus daripada gabungan 66.03 peratus kepentingan ekuiti dalam Link Net yang sebelum ini dipegang oleh Asia Link Dewa Pte Ltd dan PT First Media Tbk.

Susulan itu, jumlah kepentingan ekuiti efektif Axiata dalam Link Net yang dipegang melalui Axiata Investments dan XL Axiata adalah sebanyak 58.33 peratus selepas pengambilalihan tersebut selesai.

Dalam satu kenyataan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama Axiata, Dr Hans Wijayasuriya dan Vivek Sood berkata, penyelesaian pengambilalihan Link Net itu mencatatkan peristiwa penting dalam evolusi operasi Axiata di rantau ini.

Mereka berkata, pengambilalihan itu secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai juara digital serantau dalam penyampaian perkhidmatan telekomunikasi selaras dengan etosnya ‘Advancing Asia’.

“Pasukan yang berpengalaman dan berjaya di Link Net akan mempercepatkan peluang pertumbuhan syarikat dalam kawasan sedia ada serta yang kurang mendapat liputan.

“Meningkatkan momentum penyertaan kami dalam ekonomi digital Indonesia yang pesat membangun adalah cadangan menarik yang kami kongsi dengan pasukan Link Net,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama Axiata itu.

Link Net antara penyedia utama jalur lebar berkelajuan tinggi dan TV kabel di Indonesia, menjangkau 2.9 juta rumah di 23 bandar, masing-masing menyediakan kira-kira 855,000 jalur lebar dan kira-kira 837,000 pelanggan TV kabel.

Dalam kenyataan sama, Axiata turut memberitahu bahawa Axiata Investment kini akan bertanggungjawab untuk melaksanakan tawaran tender mandatori (MTO) bagi memperoleh baki 33.97 peratus kepentingan ekuiti dalam Link Net menurut keperluan pengawal selia di Indonesia.

“Maklumat mengenai cadangan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat dan ia dijangka siap pada suku ketiga 2022,” katanya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber