BUAT julung kalinya, produk elektronik buatan Jepun, Panasonic Corporation memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Pensijilan tersebut diberikan pada Alkaline Ionizer, produk penapis air dan kartrij gantian untuk pasaran Malaysia. Ia secara tidak langsung membuktikan peralatan yang dikilangkan di bandar Hikone, Shiga, Jepun berkenaan selamat digunakan pengguna Muslim di negara ini.
Menurut kenyataan Panasonic, sebelum mendapatkan pengesahan halal, badan pensijilan telah menjalankan audit yang turut melibatkan pemeriksaan lapangan.
“Prosedur (audit) itu untuk memastikan pihak pengurusan kami dan peringkat pembuatan produk tidak menggunakan bahan terlarang atau ditetapkan sebagai diragukan dalam peraturan Islam. Meskipun, tidak memiliki pensijilan halal piawaian peringkat global, tetapi pensijilan Jakim kepada Panasonic adalah diiktiraf sebagai salah satu badan pensijilan yang memiliki integriti tertinggi dunia,” kata Panasonic.
Pensijilan halal tersebut juga bertujuan memastikan pengguna Muslim dapat menikmati air berkualiti dan bersih dalam kehidupan seharian.