Vivy jual gelang, bersolek ke sekolah

Vivy jual gelang, bersolek ke sekolah

VIVY YUSOF bukan satu nama asing dalam dunia perniagaan Malaysia. Biarpun memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari London School of Economics di United Kingdom (UK), namun dek minat mendalam terhadap dunia fesyen telah mendorong Vivy Yusof mengasaskan perniagaan e-dagang terkemuka, Fashion Valet (FV).

Momentum bisnesnya makin berkembang apabila beliau mengasaskan Kumpulan dUCk yang menawarkan koleksi hijab, beg tangan dan kosmetik di bawah jenama tersebut.

Kesungguhan Vivy meluaskan empayar bisnes cukup dikagumi dan sememangnya diakui telah menyuntik inspirasi khususnya kepada golongan wanita dan generasi muda.

Masakan tidak, selepas menguruskan peniagaan seawal usia 23 tahun, kini anak jati Kuala Lumpur tersebut antara usahawan berkaliber dan begitu disegani ramai.

Mengimbau kembali detik awal penglibatannya dalam dunia perniagaan, FV hanya dibantu tiga pekerja yang mengendalikan kira-kira 10 jenama tempatan.

Namun pada hari ini, barangkali Vivy pun tidak menyangka dan seiring kematangan fesyen atas talian, FV semakin berkembang dan memiliki lebih 500 jenama dan angka pekerjanya meningkat kepada 180 tenaga kerja.

Namun demikian, sebesar manapun kejayaan yang dikecapinya, Vivy dikatakan masih seorang yang sangat merendah diri.

Kata bekas pelajar Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Sri Cempaka, Kuala Lumpur tersebut, beliau merupakan seorang yang bercita-cita tinggi dan sentiasa inginkan hasil serta pulangan yang lumayan.

“Belum boleh diklasifikasikan saya sudah berjaya kerana banyak lagi perkara belum dicapai.

“Namun begitu, semua benda berlaku hari ini adalah rezeki yang disusun dan diusahakan dengan bantuan ramai pihak,” katanya ketika ditemui Femina di butik dUCk di gedung 1Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Persoalannya, selain bisnes, apakah perkara sampingan yang diminati wanita berusia 32 tahun ini?

Jom dasari 20 perkara menarik tentang beliau yang dikongsi bersama wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF sempena edisi Personaliti minggu ini.

1) Fadzarudin Shah Anuar

“Terlalu banyak perkara dan momen berlaku sepanjang hidup ini. Selain memiliki ibu dan ayah serta adik-beradik saya bersyukur kerana ALLAH menghadiahkan seorang individu bernama Fadzarudin Shah Anuar.

“Beliau bukan sekadar suami, malah turut bertindak sebagai sahabat karib, pendengar, penyokong, pengkritik, bapa kepada anak-anak saya dan pencetus idea bisnes Fashion Valet dan dUCk. Pendek kata beliau adalah segala-galanya,” jelas Vivy yang bekerja satu bumbung bersama suami tercinta.

2) Anak anugerah terindah

Jika perhatikan menerusi laman sosial peribadi Vivy, biarpun mempunyai pembantu rumah, wanita murah senyuman itu tetap meluangkan masa bersama anak-anaknya.

Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2012, beliau dikurniakan tiga cahaya mata Daniel Azim Shah, 6, Mariam Iman Shah, 4, dan Sarah Ilham Shah berusia setahun.

“Mereka (anak-anak) adalah amanah dan anugerah ALLAH yang terindah. Disebabkan itu, sesibuk mana pun jadual kerja saya tetap menjalankan tanggungjawab seorang ibu,” ujarnya.

SAFARI di Afrika merupakan percutian idaman Vivy bersama famili.

SAFARI di Afrika merupakan percutian idaman Vivy bersama famili.

3) Safari

Vivy anak kepada pasangan, Yusof Jusoh dan Aishah Jelani telah melancong di serata negara. Namun begitu, beliau mengimpikan percutian untuk merasai pengalaman safari di Afrika bersama suami dan anak-anak.

4) Gelang persahabatan

Rupa-rupanya minat beliau dalam bidang keusahawanan tersemai sejak usia enam tahun.

Buktinya, Vivy telah berniaga secara kecil-kecilan dengan menghasilkan Friendship Bracelet (gelang persahabatan) yang dijual pada harga RM5 seunit dalam kalangan rakan-rakan.

“Saya pernah menerima tempahan sebanyak 20 unit dalam satu masa. Ketika itu, saya berasa sangat kaya (ketawa),” tutur Vivy tatkala mengimbas momen manis itu.

5) Sewa novel

Bicara Vivy, dek terlalu meminati bidang penulisan ketika mencecah usia sembilan tahun, beliau telah menghasilkan karya-karya pendek yang ditulis di dalam buku latihan sekolah.

Kebanyakan jalan cerita adalah berkisarkan dunia kanak-kanak yang berwarna-warni inspirasi daripada novel remaja popular, Sweet Valley High.

“Kemudian, ‘novel pendek’ itu saya sewakan untuk bacaan rakan-rakan kelas pada harga

RM0.50 sen seorang. Insya-ALLAH, jika ada rezeki saya ingin menerbitkan buku sendiri,” kata wanita jelita itu.

6) Concealer ke sekolah

“Sejak tahun satu, saya sudah berjinak-jinak dengan solekan. Bayangkan saya sanggup membasahkan mata pensil warna untuk dijadikan gincu dan dioles pada bibir.

“Melangkah ke sekolah menengah pula saya mengaplikasikan concealer (penyamar noda) pada kulit wajah,” jelas Vivy ketika ditanya rutinnya bersolek disebabkan minat atau sekadar tuntutan kerja.

7) Rawatan kaki

Ujar Vivy, setakat hari ini kasut tumit enam inci adalah paling tinggi digayakannya dan tidak pernah tergeliat atau tersungkur.

Bagaimanapun, beliau mempunyai momen pahit gara-gara memakai kasut tinggi sepanjang hari pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2016 (KLFW 2016) kakinya mengalami kekejangan melampau.

Susulan itu, setahun sekali beliau perlu menjalani rawatan kaki bagi melegakan ketegangan otot.

8) Hijab RM2,500

“Saya memiliki lebih daripada 1,000 helai tudung pelbagai warna, material, rekaan dan corak. Disebabkan, berkecimpung dalam bisnes seumpama ini, maka saya perlu menggayakan semua koleksi tudung keluaran dUCk,” katanya.

Dari segi harga, hijab paling mahal dimilikinya adalah jenis sifon bertatah swarovski berharga RM2,500 jenama tempatan. Beliau turut meminati selendang label antarabangsa seperti LV dan Hermes.

9) Graduan UiTM cemerlang

Pada bulan Mei lalu, Vivy dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau diberi tanggungjawab mengendalikan portfolio dalam bidang pembangunan pelajar.

“Justeru, saya ingin memastikan para penuntut bukan sahaja cemerlang dalam akademik, bahkan membentuk keyakinan diri, bijak berbahasa Inggeris dan berkecimpung dalam bidang keusahawanan,” jelasnya.

VVY (kiri) dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM oleh Kementerian Pendidikan pada bulan Mei lalu.

VVY (kiri) dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM oleh Kementerian Pendidikan pada bulan Mei lalu.

10) Cerewet dan teliti

Menurut Vivy, beliau seorang bos yang cerewet dan teliti.

“Menguruskan 180 lebih staf bukan tugas yang mudah, tetapi ia tidak membebankan kerana masing-masing sudah sedia maklum dengan skop tugasan diberikan.

“Justeru, tiada keperluan untuk saya menjadi pemarah. Cuma akan menegur jika ada kesilapan melibatkan beberapa perkara termasuk rekaan, pembungkusan, ejaan ataupun tatabahasa,” akuinya.

11) Sejam bersolek

Menyentuh mengenai tempoh bersolek, Vivy menjawab ringkas.

“Lazimnya, antara 10 hingga 30 minit sahaja, tetapi Fadzarudin (suami) sentiasa mengeluh kerana terpaksa menunggu selama sejam untuk saya selesai mekap,” jelasnya lanjut.

12) Pencinta sajian Asia

Mengulas makanan kegemaran Vivy memberitahu, beliau dan suami mempunyai selera berbeza.

Acap kali memilih restoran untuk santapan bersama mereka akan buntu. Ia berikutan beliau lebih cenderung pada sajian Asia dan Melayu seperti nasi lemak, laksa Johor dan laksa Penang manakala suaminya meminati hidangan ala Barat.

13) Otak tidak berehat

Vivy yang pernah menjadi Top 5 kategori Fesyen Meletop, Anugerah MeleTOP Era 2017 menceritakan, rutin hariannya bermula sebaik sahaja selesai menunaikan solat subuh.

Selepas menguruskan anak-anak, beliau akan bersiap untuk ke pejabat, menghadiri mesyuarat atau menjalani sesi fotografi yang diatur.

“Diakui saya antara individu yang tidak cukup tidur. Selalunya, sudah baring di atas katil pun otak masih ligat ‘bekerja’ untuk melakukan itu dan ini. Penat memang penat, tetapi saya seronok.

“Cuma situasi (tidak cukup rehat) tidak baik untuk kesihatan mental dan fizikal,” lontarnya.

14) Gaya hidup sihat

Jelas Vivy, indikasi gaya hidup sihat bukan sahaja diukur dari segi pemakanan berkhasiat ataupun senaman. Sebaliknya, bijak mempraktikkan keseimbangan hidup juga memainkan peranan utama.

“Tiada gunanya, kita menikmati makanan sihat, tetapi minda bercelaru dengan macam-macam perkara, waktu tidur tidak menentu dan tidak berkesempatan melakukan aktiviti diminati serta menarik.

“Justeru, pada tahun 2020 saya berazam untuk menjadi Vivy yang sihat dan produktif baik dari segi mental dan fizikal,” tekadnya.

15) Barbie

Pada majlis pelancaran koleksi baharu, Barbie x dUCK, Vivy mengalirkan air mata kerana sebak melihat kejayaan Kumpulan dUCK berkolaboratif dengan jenama terkemuka dunia, Barbie.

“Saya tidak menyangka, zaman kanak-kanak selalu bermain anak patung Barbie, kini jenama sendiri berpeluang bekerjasama dengan label tersebut.

“Kerjasama ini secara tidak langsung menunjukkan inisiatif Barbie mengiktiraf wanita Muslim yang berhijab,” katanya pada Majlis Pelancaran Koleksi dUCK x Barbie di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

16) Inspirasi perpustakaan

Vivy pernah berkongsi menerusi laman sosial Instagram peribadi bahawa sejak kecil ibu dan bapanya memupuk tabiat membaca dalam suasana menyeronokkan. Setiap hari hidupnya tidak pernah berenggang dengan buku.

“Sebab itu, saya cuba menerapkan konsep perpustakaan di butik dUCk yang kelima dan keenam. Kotak-kotak berisi tudung kami susun kemas di atas rak putih umpama susunan buku di perpustakaan,” katanya yang turut teruja apabila singgah Perpustakaan Starfield, Seoul, Korea Selatan pada minggu ini.

7) dUCk terus meluncur

Mengulas lanjut mengenai buah hatinya dUCk, Vivy menyasarkan tahun depan jenama tersebut diberi peluang berkolaboratif dengan pelbagai jenama besar.

“Tahun ini, kami telah bekerjasama dengan X-men dan Frozen, maka tahun 2020 diharapkan dUCk terus meluncur laju bersama jenama mega demi menghasilkan koleksi produk yang lebih terbaik, “ujarnya dengan nada gembira.

18) Inti pati 2019

Terlalu banyak untuk dihuraikan satu persatu inti pati yang berlaku dalam hidup saya. Biarpun terdapat beberapa perkara tidak berjaya dikecapi, namun sebahagian besar yang dirancang mengikut landasan betul.

Ujar Vivy: “Saya seorang yang bercita-cita tinggi sebab itu semua benda saya pastikan ia dilaksanakan dengan baik. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana perjalanan tahun 2019 penuh warna-warni.”

19) Perancangan 2020

Vivy memberitahu, perancangan propek bisnes FVdan Kumpulan dUCk bagi tahun 2020 sudah disusun kemas pada tahun ini.

“Satu daripadanya adalah untuk memastikan dua jenama ini mampu menjadikan Malaysia sebuah negara Unicorn yang boleh mencapai AS$1 bilion (RM4.14 bilion),” tegasnya.

20) Wanita tahun 2020

Pada tahun 2020, Vivy menyarankan agar golongan wanita lebih positif dalam apa jua bidang, tugasan dan perkara yang dilakukan.

ANEKDOT:

Nama penuh: Datin Vivy Sofinas Yusof

Nama komersial: Vivy Yusof

Umur: 32 tahun

Tarikh lahir: 11 Disember 1987

Asal: Kuala Lumpur

Pekerjaan: Usahawan, personaliti televisyen, Pengasas Bersama Fashion Valet dan Kumpulan dUCk

Suami: Datuk Fadzarudin Shah Anuar

Anak:

Daniel Azim Shah, 6,

Mariam Iman Shah, 4,

Sarah Ilham Shah, 1

Anugerah:

-Bella Business Award 2013

-Women’s Weekly Malaysia’s Finance and Commerce Nominee anugerah Great Women of Time Awards 2015

-60 Wanita Inspirasi Nona

-Young Entrepreneur Award, Tribute To Women Malaysia

-Tersenarai Forbes 30 Under 30 di Asia 2017



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *