Tiga Bintang HipHop Malaysia Gabung Hasilkan Karya Istimewa: ‘Perlu’

Tiga nama besar dalam industri muzik HipHop Malaysia, Luca Sickta, Kmy Kmo, dan Yonnyboii, kembali menggegarkan industri dengan lagu terbaru mereka berjudul ‘Perlu’. Kolaborasi ini pastinya dinantikan oleh peminat setelah beberapa tahun mereka mencipta hits yang menjadi sebutan ramai bersama artis-artis besar tanah air seperti Dato Sri Siti Nurhaliza, Dato M. Nasir, Dato Jamal Abdillah, dan Sufian Suhaimi.

Lagu ‘Perlu’, yang melodi dan liriknya dihasilkan oleh mereka sendiri, mencerminkan perjalanan peribadi serta perjuangan mereka. Yonnyboii berkongsi inspirasi di sebalik lagu ini, “Saya membayangkan seolah-olah saya sedang berbual dengan diri saya dari masa lalu dan sedang cuba menyelamatkannya daripada masalah yang mengelilinginya. Saya ingin menyampaikan bahawa kita harus selalu menikmati hari ini dan jangan ragu-ragu walau apa pun yang bakal tiba di masa hadapan.”

Proses penciptaan ‘Perlu’ ternyata panjang dan penuh cabaran. Menurut Luca Sickta, versi demo pertama lagu ini dirakam pada tahun 2021 oleh Yonnyboii, kemudian digubah kembali untuk mencapai keseimbangan dan keserasian antara mereka bertiga. “Proses gubahan muzik memakan masa dua tahun dan akhirnya siap di penghujung tahun 2023 setelah selesai proses rakaman bersama Kmy Kmo. Kami keluar dari zon selesa kami dan bayangkan diri kami di dunia Yonnyboii untuk mendapat keserasian,” jelas Luca Sickta.

Untuk melengkapkan lagi pengalaman pendengar, sebuah video muzik yang menarik juga telah dihasilkan. Kmy Kmo menerangkan konsep di sebalik video muzik ini, “Konsep video muzik ‘Perlu’ adalah lebih ke arah penonjolan perspektif dua dunia berbeza dari setiap karakter yang ingin menceritakan perjalanan masing-masing. Ia mengisahkan tentang kita semua yang sentiasa hidup dalam dua watak berbeza. Bila setiap kali kita jatuh dengan watak negatif, watak positif akan hadir untuk bantu membakar semangat kita semula supaya terus yakin dalam setiap hasil usaha.”

Lagu ‘Perlu’ boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer, dan YouTube Music mulai 26 April 2024. Video muzik rasmi juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Kmy Kmo pada tarikh yang sama.

Dengan pelancaran ‘Perlu’, ketiga-tiga bintang HipHop ini berharap lagu mereka mendapat sambutan hangat dan menyentuh hati pendengar. “Apa yang saya harapkan adalah, semoga lagu ‘Perlu’ ini dapat diterima ramai khususnya berkat sokongan kuat pendengar-pendengar yang sentiasa menyokong karya kami. Saya juga harap, para pendengar dapat menghayati setiap bait-bait lirik yang sarat dengan nilai-nilai murni untuk dijadikan pelita hidup,” ujar Kmy Kmo mengakhiri perbualan.

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati karya terbaru dari Luca Sickta, Kmy Kmo, dan Yonnyboii yang pastinya akan memikat hati anda.