Banat Sandwich tawar produk premium

BERMULA dengan modal lebih kurang RM1,000, dua graduan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini nekad memulakan perniagaan sendiri secara serius dengan memilih produk sandwic premium menerusi jenama Banat Sandwich.

Graduan tersebut ialah Fatin Wahidah Safiai dan Fatin Nurjihan Burhanuddin masing-masing berusia 29 tahun memulakan perniagaan itu pada tahun 2015 iaitu sejak bergelar mahasiswa dan secara sepenuh masa pada tahun 2017.

Menurut Fatin Nurjihan, ketika itu, bukan setakat sandwic tetapi pelbagai jenis makanan antaranya nasi lemak dan makanan ringan yang pelanggannya terdiri daripada warga USIM.

Bagaimana pun pada penghujung tahun 2017 sebelum menamatkan pengajian, mereka nekad meneruskan perniagaan itu secara serius.

Antara yang membuat tempahan Banat Sandwich.

Antara yang membuat tempahan Banat Sandwich.

“Ini kerana, kami tidak mahu bekerja makan gaji dan membuat keputusan membuka perniagaan ini dengan menyasarkan pasaran luar setelah membuat kajian kebolehpasaran.

“Oleh kerana permintaan yang tinggi sebanyak 600 hingga 1,000 kotak secara purata dengan 10 jenis sandwic telah mendorong kami menyewa dua buah rumah di Taman Desa Anggerik, Nilai untuk dijadikan lokasi penyediaan dan pengeluaran produk.

“Kami dibantu oleh empat tenaga kerja dan tujuh penghantar secara separuh masa dalam kalangan pelajar USIM,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Fatin Nurjihan, Banat Sandwich semakin dikenali ramai terutama di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Sewaktu PKP, pelanggannya menempah Banat Sandwich kepada barisan harapan.

Sewaktu PKP, pelanggannya menempah Banat Sandwich kepada barisan harapan.

“Pada mulanya keluarga agak keberatan selepas mereka mengetahui kami mahu menjalankan perniagaan ini kerana mereka mahu kami bekerja dalam bidang yang dipelajari.

“Namun sandwic kami semakin mendapat sambutan terutamanya pada tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mana waktu itu tidak ramai boleh keluar rumah dan mula menerima tempahan yang agak banyak. Kebanyakan pelanggan kami dari Seremban, Nilai, Bangi dan Putrajaya.

“Bermula dengan pek kecil, kini kami mampu menjual hampir 1,000 kotak sebulan,” katanya.

Sementara itu, Fatin Wahidah berkata, sandwic itu juga boleh diperolehi di dua stesen minyak di sekitar Nilai iaitu di Shell Nilai Square dan Petron Nilai Impian selain di Halal Mart Seehat Store Nilai.

“Orang ramai boleh membuat tempahan melalui laman sosial Facebook, Banat Sandwich ataupun website kami www.banatsandwich.com

“Antara sandwic yang mendapat permintaan pelanggan ialah sandwic telur, tuna, ayam BBQ, ayam goreng, sate, daging dan ayam cendawan,” katanya.

Antara penghantar Banat Sandwich.

Antara penghantar Banat Sandwich.

Dalam pada itu, mereka berhasrat untuk membuka sebuah kafe yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman menjelang 2023.

“Melihat perkembangan perniagaan ini tidak mustahil kami akan buka kafe tambahan pula dengan adanya media sosial yang banyak membantu kami daripada segi promosi dan jualan berbanding peringkat awal pembabitan kami dalam bidang ini,” katanya.

Sumber