Vespa Notte Edition edisi terhad untuk pasaran Malaysia

Vespa Notte Edition edisi terhad untuk pasaran Malaysia

NAZA Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi Vespa jenama di Malaysia kembali menyemarakkan lagi industri permotoran tempatan dengan melancarkan Vespa Notte Edition bagi dua model sedia ada sebelum ini iaitu Vespa GTS Super 300 ABS dan Sprint 150 i-GET ABS. Notte merupakan perkataan dalam bahasa Itali yang bermaksud malam.

Kehadiran model ini sekali gus memberi pilihan tambahan kepada peminat skuter yang inginkan perhatian menerusi perincian serba hitam. Siri khas Vespa Notte ini didatangkan serba hitam dengan grafik bersama kerangkanya. Ia digandingkan dengan rona hitam kilat pada bahagian cermin termasuk kemasan lain seperti pada tali leher atau tie pembias udara hadapan, trim di penghujung bar handle, pemijak kaki boleh lipat, rim hitam kilat dan pelindung peredam bunyi.

Di samping itu, Vespa Notte turut didatangkan dengan kemasan terperinci termasuk pemasangan logo Notte pada kotak belakang bersama kemasan jahitan berganda pada pelana.

Unit terhad

Vespa Notte GTS Super 300 ABS dilengkapi dengan enjin empat lejang satu silinder suntikan bahan api elektronik yang menghasilkan 15.6Kw pada 7,750rpm dan tork 22Nm pada 5,500rpm.

Selain itu, Notte GTS Super 300 ABS hadir dengan sistem brek ABS dua hala dan sistem ASR bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin di atas jalan raya yang serba sibuk. Bagi membezakan antara model standard dan versi Notte, ia turut didatangkan dengan tempat duduk yang direka khas, rim berwarna hitam berkilat dan muffler guard.

Notte GTS Super 300 ABS juga dilengkapi dengan ciri-ciri mesra alam seperti mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan. Lebih menarik, Vespa Malaysia hanya menawarkan 19 unit sahaja untuk model ini dan 52 unit bagi model Vespa Notte Sprint 150 untuk pasaran tempatan.

Ikon gaya hidup

Bagi Vespa Notte Sprint 150 pula, ia menggunakan unit 150 cc i-get dengan janaan kuasa 9.5 kW pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi kedua-dua model ini menggunakan transmisi automatik CVT. Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai keperibadian yang inginkan jentera yang melambangkan gaya muda, lincah, inovatif, selamat dan mesra alam, Vespa Notte Sprint 150 i-Get ABS merangkumi semua nilai yang menjadikannya berjaya, mewarisi kesegaran pendahulunya. Vespa bukan sekadar kenderaan tetapi lambang kepada gaya hidup bagi sebahagian orang.

Harga jualan bagi kedua-dua model ini bermula dari RM17,700 untuk model Notte Sprint 150 i-Get ABS dan RM29,000 untuk model Notte GTS Super 300 ABS. Ia boleh didapati di kesemua pengedar dan outlet Vespa di seluruh negara.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *