Nestlé Malaysia dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) meneruskan kerjasama bagi tahun keempat berturut-turut dengan menyediakan 7,000 pek bantuan makanan berkhasiat untuk keluarga yang berisiko terjejas akibat banjir menjelang musim monsun tahun ini.
Bekalan bantuan tersebut sedang dihantar ke Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu bagi membantu komuniti membuat persiapan menghadapi kemungkinan banjir. Di Sabah pula, seramai 40 sukarelawan daripada operasi Nestlé di Sabah, Harrisons Sabah dan BSMM Sabah berganding bahu menyediakan 1,000 beg bantuan banjir untuk disalurkan kepada komuniti yang memerlukan.
Sejak kerjasama ini dimulakan pada 2023, lebih 30,000 keluarga yang terjejas akibat banjir telah menerima bantuan. Inisiatif ini turut memperkukuh keupayaan BSMM dalam melaksanakan tindak balas kecemasan, termasuk melalui pembiayaan bagi perolehan kelengkapan penting seperti unit ambulans terbaharunya. Sumbangan Nestlé Malaysia bagi usaha bantuan tahun ini, merangkumi produk dan sokongan kewangan, dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, menegaskan bahawa persiapan awal amat penting bagi memastikan bekalan makanan dan minuman tersedia untuk disalurkan dengan segera apabila komuniti memerlukannya. Beliau turut menghargai komitmen kakitangan Nestlé dan para sukarelawan yang berganding tenaga menyediakan pek bantuan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan BSMM, YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, berkata usaha menangani bencana banjir perlu bermula sebelum keadaan menjadi kritikal. Menurut beliau, penyediaan bekalan keperluan asas lebih awal membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan lebih berkesan kepada komuniti yang terjejas.
Aktiviti pembungkusan bantuan di Kuala Lumpur turut melibatkan kakitangan Nestlé Malaysia, sukarelawan BSMM serta wakil Universiti Malaya, Universiti Malaya-Wales dan Yayasan Wakaf. Kotak bantuan tersebut mengandungi pelbagai produk makanan dan pemakanan, termasuk MILO, MAGGI, NESCAFÉ, NESTLÉ Cereals, NESTUM, LACTOGROW dan EVERYDAY. Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan.
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Nestlé Sayang Komuniti yang menggalakkan penglibatan warga kerja dalam aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan. Ia turut melengkapi kerjasama Nestlé Malaysia dengan Yayasan Food Bank Malaysia yang menyediakan 800 pek bantuan makanan dan pemakanan untuk keluarga di kawasan pedalaman Tumpat dan Jeli, Kelantan. Secara keseluruhan, seramai 400 warga kerja telah terlibat dalam usaha bantuan tahun ini.
Melalui kerjasama berterusan bersama organisasi kemanusiaan dan komuniti setempat, Nestlé Malaysia dan BSMM berharap dapat memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana serta memastikan bantuan asas dapat disalurkan kepada keluarga yang memerlukan ketika berlakunya banjir.















