UNTAMED Dedah Sisi Di Sebalik Kejayaan JDT, JDT+ Tawar Kandungan Eksklusif Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim FC (JDT) melangkah ke dunia penstriman digital menerusi pelancaran UNTAMED, sebuah filem dokumentari yang membawa penonton menyelami perjalanan, cabaran dan realiti di sebalik kejayaan Southern Tigers.

Berdurasi 76 minit, dokumentari ini menampilkan perspektif peribadi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT, mengenai visi dan aspirasi beliau dalam membangunkan kelab itu sebagai antara kuasa besar bola sepak di rantau ini. Penonton turut dibawa melihat sisi yang jarang didedahkan kepada umum, termasuk suasana bilik persalinan, sesi latihan, tekanan, kontroversi dan keputusan penting yang membentuk identiti kelab.

UNTAMED menghimpunkan pelbagai figura yang memainkan peranan dalam kebangkitan JDT, termasuk Ketua Pegawai Operasi JDT, Alistair Edwards; Pengarah Kewangan JDT, Dato’ Seri Jaifuddin; Pengurus Projek Khas JDT, Kevin Ramalingam; serta bekas Pengarah Sukan JDT, Martin Prest.

Dokumentari ini turut menampilkan pemain semasa seperti Arif Aiman, Bergson da Silva, Matt Davies dan Corbin Ong, selain bekas pemain Safiq Rahim dan Safee Sali serta bekas ketua jurulatih Bojan Hodak. Penglibatan Khairy Jamaluddin, Joe Flizzow dan wartawan sukan Keesh turut memberikan perspektif berbeza mengenai perjalanan dan pengaruh JDT dalam arena bola sepak Malaysia.

Seiring pelancaran dokumentari tersebut, JDT memperkenalkan JDT+, platform penstriman eksklusif yang menghimpunkan dokumentari, siri original dan kandungan premium berkaitan kelab. Beridentitikan The Home of JDT Originals, platform ini menawarkan akses kepada kisah di sebalik tabir, pandangan pemain dan jurulatih serta perjalanan kelab di luar aksi 90 minit perlawanan.

Selepas UNTAMED, JDT+ bakal menampilkan OUTBOUND, sebuah siri dokumentari yang merakam cabaran dan perjalanan JDT dalam saingan AFC Champions League Elite dari musim ke musim. Siri tersebut dijadualkan mula ditayangkan pada November 2026, dengan lebih banyak kandungan original dirancang sepanjang musim 2026/27.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, berkata pelancaran UNTAMED dan JDT+ mencerminkan usaha jangka panjang kelab untuk memperkukuh jenama sukan mereka di peringkat antarabangsa. Menurut beliau, kejayaan kelab bukan sekadar diukur melalui jumlah trofi, tetapi turut bergantung pada struktur organisasi, budaya profesional dan konsistensi dalam meningkatkan standard.

Peminat boleh melanggan JDT+ melalui laman web rasmi www.jdtplus.com dengan bayaran Season Pass sebanyak RM69 bagi musim 2026/27. Langganan tersebut memberikan akses kepada kandungan platform, termasuk UNTAMED dan OUTBOUND mengikut jadual tayangan masing-masing.