TVS Raih Tiga Anugerah ASA 2026, Warnai Ulang Tahun Ke-6

TVS terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri penyiaran apabila meraih tiga anugerah di Anugerah Seri Angkasa (ASA 2026), selepas menerima pengiktirafan The BrandLaureate BestBrands Award 2026 baru-baru ini.

Pencapaian itu menjadikan sambutan ulang tahun keenam TVS lebih bermakna, sekali gus mencerminkan komitmennya dalam menyokong industri kreatif dan mengangkat karya tempatan, khususnya dari Sarawak.

Sebelum ini, TVS menerima The BrandLaureate BestBrands Award 2026 bagi kategori Nation’s Pride Excellence in Corporate Branding & Media Development atas kecemerlangan penjenamaan korporat serta sumbangannya kepada pembangunan media.

Di ASA 2026, TVS meraih dua kemenangan menerusi animasi Lauk Ka Indai terbitan Amirul Afiq Hussain yang memenangi kategori Animasi Tempatan TV Terbaik, manakala filem komedi pendek Ro Bin Hud karya Ain Suhada Ahmad dinobatkan sebagai Komedi TV Terbaik.

Pada malam kemuncak pula, animasi tempatan Kumang & The Ungrateful Python karya Khiu Siaw Fong menerima Anugerah Khas Juri. Selain trofi dan wang tunai RM8,000, TVS turut membawa pulang sebuah kenderaan elektrik Perodua QV-E bernilai RM80,000.

Animasi tersebut diterbitkan oleh TVS dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak melalui Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak.

Kejayaan ini membuktikan potensi karya animasi dan komedi tempatan dalam mengetengahkan kreativiti serta identiti Sarawak kepada khalayak yang lebih luas. Memasuki tahun keenam, TVS bertekad untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti, menyokong bakat kreatif dan membawa cerita dari Bumi Kenyalang ke pentas yang lebih besar.