Astro Shaw Raih Lima Kemenangan dan Satu Anugerah Khas di FFM35

Poster ucapan tahniah Astro Shaw dan Monsta Studios sempena kemenangan Anugerah Khas Filem Box Office Papa Zola The Movie di FFM35

Astro Shaw Raih Lima Kemenangan dan Satu Anugerah Khas di FFM35

Malam penuh pengiktirafan buat Astro Shaw apabila tiga filem terbitannya berjaya membawa pulang lima anugerah di Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), selain satu Anugerah Khas menerusi filem animasi Papa Zola The Movie.

Antara yang paling menyerlah ialah filem seram Malam Terlarang yang meraih dua kemenangan. Aila Azizul dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Harapan, manakala Ameen Mustajab membawa pulang anugerah Kesan Khas Visual Terbaik. Lebih manis, kemenangan ini menjadi pencapaian istimewa buat Aila yang membuat penampilan sulung di layar perak.

Poster ucapan tahniah filem Malam Terlarang terbitan Astro Shaw yang memenangi kategori Pelakon Wanita Harapan dan Kesan Khas Visual Terbaik di FFM35

Kejayaan Abah Saya Uncle Mike dan TARUNG: Unforgiven Milik Astro Shaw

Kejayaan turut berpihak kepada Abah Saya Uncle Mike apabila pengarahnya, Ezrie Gazali, memenangi kategori Pengarah Harapan. Filem yang diinspirasikan daripada kisah sebenar Michael Tong Wai Siong itu mengangkat kisah seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak berbangsa Melayu.

Poster ucapan tahniah filem Abah Saya Uncle Mike terbitan Astro Shaw bagi kemenangan Ezrie Gazali dalam kategori Pengarah Harapan FFM35

Tidak ketinggalan, TARUNG: Unforgiven turut mencatat dua kemenangan menerusi Mierul Aiman bagi kategori Pelakon Lelaki Harapan, manakala Defenderz Action Team menerima anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik.

Poster ucapan tahniah filem TARUNG Unforgiven terbitan Astro Shaw sempena kemenangan Mierul Aiman dan Defenderz Action Team di FFM35

Anugerah Khas Papa Zola The Movie dan Komitmen Astro Shaw

Sementara itu, Papa Zola The Movie menerima Anugerah Khas Filem Box Office selepas mencatat kutipan hampir RM70 juta. Pencapaian tersebut turut meletakkan filem animasi berkenaan sebagai filem animasi nombor satu negara berdasarkan kutipan tertinggi.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil usaha bersama barisan pelakon, pengarah, pasukan kreatif dan seluruh tenaga produksi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan penerbitan serta kerjasama yang terlibat dalam menghasilkan karya-karya tersebut.

Menurutnya, pengiktirafan di FFM35 menguatkan lagi komitmen Astro Shaw untuk terus menyokong industri perfileman tempatan, termasuk menerusi kerjasama strategik dan penerbitan karya yang mempunyai nilai kreatif serta komersial.