Menjelang penyenaraian Pasaran ACE: EMPG Group lancar prospektus, jangka kutip RM34.05 juta

EMPG Group Berhad (EMPG) merancang untuk memperluas jejak runcitnya secara agresif dengan membuka 100 kaunter konsainan baharu serta 15 buah butik dalam tempoh 24 bulan selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. Rancangan peluasan berskala besar itu bakal dibiayai menggunakan RM25.00 juta daripada keseluruhan RM34.05 juta dana yang dijangka berjaya dikumpul menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO) syarikat yang dilancarkan prospektusnya hari ini.

Daripada 100 kaunter konsainan baharu yang dirancangkan, sebanyak 45 unit akan diperuntukkan khusus untuk jenama berlesen Pierre Cardin, 30 unit bagi jenama Hummer, manakala baki 25 unit lagi akan menempatkan jenama milik Kumpulan yang sedia ada seperti Exhaust, Brittania, Idexer, Millward dan John Rider. Di samping itu, kesemua 15 buah butik baharu yang bakal dibuka kelak akan beroperasi sepenuhnya di bawah jenama Pierre Cardin, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan jenama antarabangsa itu dalam segmen pakaian tempatan.

Ketika ini, EMPG mengendalikan rangkaian jualan yang sangat luas melibatkan 578 pusat runcit di bandar dan pekan utama seluruh negara, terdiri daripada 563 kaunter konsainan dan 15 kedai runcit. Selain menawarkan rangkaian pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berkualiti pada harga berpatutan melalui kedai fizikal, Kumpulan turut memanfaatkan saluran digital melalui kedai dalam talian rasmi serta platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada dan TikTok, di samping mengendalikan segmen jualan borong dan pembekalan fabrik.

Ketua Pasaran Modal dan Kewangan Korporat Berjaya Securities Sdn Bhd, Anuar Bin Omar berkata, EMPG melangkah masuk ke pasaran modal dengan model perniagaan berbilang saluran yang sangat mantap dan terbukti berdaya tahan. Peruntukan dana IPO yang tertumpu kepada pembukaan cawangan dan butik baharu diyakini mampu menyediakan platform yang lebih kukuh buat Kumpulan untuk melaksanakan pelan pertumbuhannya serta memacu jualan runcit dalam pasaran pakaian tempatan yang semakin kompetitif.