Keagungan Simfoni 70 Pemuzik Eropah dan India: RAAJA 50 Bakal Hidupkan Karya Ikonik Ilaiyaraaja dalam Skala Orkestra Mega

KUALA LUMPUR — Pencinta muzik simfoni dan runut bunyi filem bakal menyaksikan satu pertunjukan muzikal bertaraf dunia apabila RAAJA 50 – Maestro Ilaiyaraaja Live in Concert menggegarkan TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 6 Februari 2027. Dibawakan oleh PINK ASIA dan MERCURI bersempena ulang tahun ke-50 pembabitan seni Maestro Ilaiyaraaja, konsert yang menyasarkan kehadiran sehingga 60,000 peminat ini mengetengahkan persembahan orkestra langsung melibatkan 70 pemuzik dari Eropah dan India bagi menterjemahkan keunikan gubahan muzik beliau secara mega.

Sepanjang lima dekad dalam industri seni sejak kemunculan sulungnya menerusi filem Annakili pada tahun 1976, Ilaiyaraaja diiktiraf secara meluas atas kepintarannya mengadunkan melodi tradisional India dengan elemen muzik klasik Barat serta susunan orkestra yang tersendiri. Kepakaran tersebut membolehkan karya-karya beliau merentasi sempadan bahasa dan menyentuh jiwa pendengar pelbagai generasi. Kehebatan beliau dalam bidang muzik simfoni turut dibuktikan di pentas antarabangsa pada 8 Mac 2025 apabila karya simfoninya, Symphony No. 1 – Valiant, dipersembahkan buat pertama kali secara langsung di London oleh Royal Philharmonic Concert Orchestra.

Menerusi RAAJA 50, penonton di Kuala Lumpur berpeluang merasai sendiri magis gubahan tersebut secara langsung di stadium, lengkap dengan kehadiran tokoh-tokoh ternama perfileman India Selatan serta barisan penyanyi generasi baharu yang bakal diumumkan kelak. Peminat dinasihatkan mengikuti saluran rasmi penganjur bagi mendapatkan tarikh pembukaan jualan tiket yang akan diumumkan tidak lama lagi.