Sidang media ini diadakan bagi memperkenalkan kerjasama antara Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bersama Neo Gendang Records yang menghimpunkan dua nama besar dunia rock tempatan, Edrie Hashim dan kumpulan Candy Malaysia. Inisiatif ini berlangsung melalui kursus APS 5123: Pengurusan Produksi Muzik yang dikendalikan oleh pensyarah, Encik Wan Mohamed Syamil bin Wan Shamsul Anuar. Dalam masa yang sama, program Siri Jelajah Universiti bertajuk Pistol & Bunga turut dilancarkan dengan ASWARA menjadi universiti pertama yang terpilih. Konsep Pistol & Bunga membawa maksud gabungan kekuatan rock dan sentuhan seni melodi, melambangkan keunikan kolaborasi antara Edrie Hashim dan Candy. Pistol mewakili figura Edrie Hashim, pengasas Projek Pistol yang terkenal dengan lagu Wanita Seluruh Dunia selain aktif sebagai pengarah muzik, penerbit, penulis lirik dan pemain gitar kumpulan Wings sejak tahun 2015.

Beliau banyak menghasilkan album artis ternama seperti Amy Search, Awie, Ella, Hattan, Siti Sarah, Misha Omar, Jaclyn Victor dan Def Gab C, serta menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Album Rock Terbaik dan Album Terbaik. Sementara itu, Bunga melambangkan kelembutan yang diwakili oleh kumpulan Candy, sebuah band rock wanita legenda sejak 1996 yang popular dengan lagu Akan Ku Tunggu. Dianggotai Patricia Robert, Nancy Graggory, Anis Kalisa dan Bulan Terry, Candy pernah meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi pencapaian Most All Female Bands Performing Simultaneously 2023. Masih aktif dalam dunia muzik, mereka tampil dengan single baharu Setia2u pada September 2024 hasil ciptaan Edrie Hashim di bawah label Neo Gendang Records, sekali gus memperkenalkan barisan ahli baharu kumpulan tersebut.

Menurut Edrie Hashim, matlamat utama projek ini ialah memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman secara langsung bersama pemuzik profesional, selain mendedahkan mereka kepada realiti industri muzik. Para pelajar akan didedahkan dengan pelbagai aspek pengurusan acara seperti produksi, pentas, promosi, pemasaran dan pengurusan artis. Pada masa yang sama, beliau berharap dapat berkongsi pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik tanah air dengan generasi muda. Seiring dengan itu, sesi uji bakat turut diadakan di Studio Rakaman ASWARA bermula 10 pagi hingga 3 petang bagi mencari bakat baharu dalam kalangan pelajar universiti. Ujian ini melibatkan kategori pemain gitar, bass, drum dan keyboard, dengan penilaian daripada panel juri iaitu Edrie Hashim, Hafiz Shah dan Reza Mohammad. Mereka yang terpilih akan digabungkan sebagai sebuah kumpulan muzik baharu untuk membuat persembahan bersama Edrie Hashim dan Candy pada 20 September 2025 bertempat di Orchestra Hall, ASWARA.

Penganjuran ini mempunyai pelbagai objektif termasuk mengiktiraf sumbangan legenda muzik tempatan, mengangkat kembali muzik rock dalam kalangan generasi muda, memupuk minat terhadap seni dan budaya, memperkenalkan instrumen tempatan melalui pameran serta bengkel, menyediakan ruang untuk bakat baharu menyerlah, meningkatkan nilai akademik fakulti melalui penganjuran program berimpak tinggi, memberi pengalaman praktikal kepada pelajar dalam aspek produksi dan pengurusan, mengukuhkan jaringan industri serta membina kerjasama strategik antara fakulti, artis dan pemain industri untuk projek masa depan.

Selepas ASWARA, jelajah Pistol & Bunga akan diteruskan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Januari 2026, diikuti dengan Universiti Malaya (UM) yang kini sedang dalam perbincangan. Beberapa universiti lain turut dirancang menyertai siri ini seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dalam kesempatan ini, Edrie Hashim bersama Candy menzahirkan penghargaan kepada semua pihak media atas sokongan berterusan terhadap kerjaya dan perjalanan seni mereka dalam industri muzik tanah air.