Surah Al-Insan pilihan #QuranHour sepanjang tahun ini

Surah Al-Insan pilihan #QuranHour sepanjang tahun ini

GOMBAK – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memilih untuk menjadikan Surah Al-Insan sebagai pilihan bagi kesemua program #QuranHour yang akan dijalankan sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff berkata, isi kandungan surah berkenaan akan dibuat dengan sudut berbeza mengikut program yang diadakan.

“Surah Al-Insan akan dipasakkan di beberapa momentum besar pada tahun 2023 ini bermula dengan World #QuranHour diikuti dengan Arafah #QuranHour yang dijadual pada 9 Zulhijah ini.

“Seterusnya Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos depan dan penutupnya World #QuranCovention pada 1 dan 2 Disember ini,” katanya.

Marhaini - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Marhaini – FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai Program World #QuranHour 2023 yang berlangsung di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Khamis.

Program yang disertai kira-kira 6,000 orang itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka Baginda tiba di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM pada pukul 11.45 pagi bagi meluangkan masa mendengar bacaan Surah Al-Insan yang dipilih sebagai surah pilihan untuk edisi kali ini.

Ini merupakan kemunculan kedua Seri Paduka Baginda yang pernah menghadiri program tersebut buat kali pertama di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah pada 26 April tahun lalu.

Sementara itu, turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Pengasas WUIF merangkap Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin serta kenamaan-kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, pihaknya menyasarkan 1.6 bilion capaian di media sosial dengan 25 negara berdaftar untuk mengambil bahagian dalam program tahun ini.

“Sejak pelaksanaan tahun 2016, kita telah mencapai 3.89 bilion capaian di media sosial dan berada di 313 lokasi di luar negara, selain lebih 3,000 lokasi di Malaysia.

World #QuranHour tahun ini mengangkat tema ‘Memanusiakan Ummah’ melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); UIAM; Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM); Wardah dan beberapa pihak lain lagi.

Antara rakan sinergi media yang bergabung bagi menjayakan program ini adalah Sinar Harian; Bernama; Astro Oasis; Astro Awani; RTM; Utusan TV dan lain-lain.

Sumber