PUO lokasi utama Malaysia #QuranHour di Perak

PUO lokasi utama Malaysia #QuranHour di Perak

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) dipilih menjadi lokasi utama program Malaysia #QuranHour bagi peringkat negeri Perak yang akan berlangsung 30 Ogos ini.

Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, pemilihan PUO sebagai lokasi utama itu dibuat bertepatan dengan tema Malaysia #QuranHour pada tahun ini iaitu Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar.

Persetujuan telah dimeterai dengan pihak pengurusan PUO selepas pimpinan Rumah Ngaji Perak yang diketuai penasihatnya, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan beliau sendiri membuat pembentangan pada 9 Ogos lalu.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana PUO menyambut baik kerjasama ini untuk menjadi lokasi utama di Perak bagi Malaysia #QuranHour pada tahun ini. Ia sesuatu yang amat baik untuk kita terjemahkan tema pada tahun ini iaitu Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar kerana PUO mempunyai anak muda yang akan menentukan masa depan negara satu hari nanti.

“Jadi kita berharap penganjuran ini akan berjalan lancar dan kita juga mengalu-alukan sokongan orang ramai sama ada pelajar, golongan muda dan dewasa untuk menjayakan Malaysia #QuranHour di hotspot di seluruh negeri yang akan ditentukan nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Noor Mazlina berkata, dianggarkan seramai 800 orang akan hadir memeriahkan Malaysia #QuranHour yang dijadual berlangsung di lokasi utama berkenaan melibatkan pelajar, pensyarah, kakitangan PUO termasuk alumni institusi pengajian tinggi berkenaan.

Menurutnya, bersempena program berkenaan juga, Rumah Ngaji bersama PUO akan mewujudkan Sudut Al-Quran di dalam perpustakaan politeknik berkenaan bagi membolehkan semua pengunjung perpustakaan mendekati al-Quran sambil meneliti makna setiap ayat di dalam kitab tersebut.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah yang menerima cadangan daripada Rumah Ngaji Perak untuk menjadikan PUO sebagai tuan rumah utama bagi penganjuran program berkenaan.

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan menganjurkan Malaysia #QuranHour kali ke-9, bertemakan Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr di lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya yang dijadual berlangsung jam 12 hingga 1 tengah hari, pada 30 Ogos 2023.

Pada tahun ini, Surah Al-Fatihah (Pembukaan), Surah Al-Insan (Manusia) dan Surah Al-Asr (Masa) menjadi surah pilihan bagi mengangkat tema Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar dalam membentuk Malaysia Madani, negara yang sejahtera, harmoni, dan progresif.

Sumber