Program Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2023

Program Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2023

Di Savanna Hill Resort di Ulu Tiram, Johor, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, hari ini menyempurnakan pembukaan rasmi Program MPGPS Pergerakan Mahasiswa 2023 Pergerakan Perdana Menteri.

Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) 2023 yang berlangsung mulai 13 hingga 15 Jun 2023 merupakan satu program tahunan dalam kalendar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara. Kelab GPS telah diasaskan oleh KPDN bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membentuk sebuah entiti yang berstruktur, berperlembagaan, berperaturan dan berkepemimpinan dengan pelajar IPT sebagai ahli untuk bekerjasama melaksanakan aktiviti kepenggunaan yang berkesan. Sehingga tahun 2023, terdapat 178 buah Kelab GPS yang telah berdaftar dengan seramai 8,748 pelajar yang menjadi ahli Kelab GPS di IPT seluruh Malaysia.

Untuk makluman, seramai 200 peserta GPS daripada 100 IPT di seluruh negara telah berkampung di Savanna Hill Resort, Johor bagi menjayakan pelbagai aktiviti kepenggunaan yang telah diatur seperti sesi dialog bersama YB Timbalan Menteri KPDN, penglibatan dalam aktiviti Cabaran Interaktif Pengguna GPS, mengikuti aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di lapangan bersama Penguat Kuasa KPDN, sesi pocket 2 talk serta aktiviti pameran yang dapat memberi pendedahan yang bermanfaat berkaitan ilmu kepenggunaan kepada peserta MPGPS.

Peranan ahli GPS sangat penting sebagai duta kecil Kementerian dalam menyebarluaskan program advokasi kepenggunaan di kalangan belia, terutamanya golongan pelajar IPT. Ahli GPS memainkan peranan yang signifikan dalam menyemarakkan program tersebut agar dapat membentuk kumpulan pengguna generasi baharu yang bijak, rasional dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan pembelian dan melaksanakan hak sebagai pengguna.

Selain daripada memainkan peranan sebagai mata serta telinga Kerajaan dalam menyebarkan program advokasi kepenggunaan di kalangan belia, ahli GPS juga berperanan untuk membantu Kementerian dalam menjayakan program-program khusus seperti Program Food Bank Siswa yang bertujuan memberi bantuan makanan kepada pelajar memerlukan dan meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh pelajar tersebut.

Selain daripada program MPGPS, Kementerian berharap agar program dan aktiviti kepenggunaan melalui platform GPS di seluruh IPT dapat dilaksanakan dan dipelbagaikan agar ia mampu membentuk satu budaya kepenggunaan yang holistik dan konsisten di kalangan pelajar dan seterusnya disebarluaskan kepada rakan-rakan di institusi, ahli keluarga dan masyarakat setempat. Program MPGPS contohnya, dilihat mampu menarik minat para pelajar IPT untuk berpersatuan dan bergerak aktif dalam aktiviti luar kampus di samping meningkatkan kesedaran pelajar mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna serta lebih cakna terhadap isu-isu kepenggunaan semasa.