Ketakutan manusia tidak semestinya berpunca daripada perkara mistik, malah pengalaman hidup dan rahsia yang dipendam juga mampu meninggalkan kesan mendalam. Persoalan itu menjadi antara teras filem seram thriller Bisikan terbitan D’Alpha Legacy Production.
Diarahkan Opie Zami, filem ini memperkenalkan konsep ‘double horror’ yang menggabungkan unsur mistik dengan ‘horror of truth’, iaitu ketakutan yang lahir daripada realiti kehidupan manusia.
Dibintangi Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanida Imran, Fatin Afeefa, Altimet dan Puteri Rayyana, Bisikan membawa penonton meneroka misteri sebuah keluarga sambil mengetengahkan tema hubungan kekeluargaan, kasih sayang, kehilangan dan luka emosi.
Penerbitnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, berkata inspirasi menghasilkan filem tersebut turut berkait dengan pengalaman peribadinya ketika berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Majistret.
Sepanjang kerjayanya, beliau berdepan pelbagai kisah kehidupan yang menimbulkan persoalan tentang sebab di sebalik sesuatu jenayah dan bagaimana seseorang mampu melalui pengalaman yang sukar diterima akal.
Pengalaman tersebut mendorongnya menghasilkan sebuah filem seram yang bukan sahaja mencetuskan rasa takut, tetapi turut mengajak penonton berfikir tentang manusia dan perkara yang mungkin tidak difahami sepenuhnya.
Menurutnya, setiap individu mempunyai luka tersendiri. Ada yang dapat dilihat oleh orang lain, manakala sebahagiannya disimpan begitu lama sehingga terus mempengaruhi kehidupan tanpa disedari.
Daripada pemikiran itu, ungkapan ‘Luka Yang Berbisik’ menjadi sebahagian daripada identiti Bisikan.

Bagaimanapun, perjalanan merealisasikan filem itu mengambil masa enam tahun. Penggambaran yang selesai pada 9 Ogos 2020 terjejas susulan pandemik COVID-19, sebelum produksi berdepan masalah CGI dan kekurangan dana untuk meneruskan pasca produksi.
Filem yang menelan kos penerbitan RM1.5 juta itu menggunakan kira-kira 80 peratus elemen CGI. Pihak produksi kemudiannya menerima dana pasca produksi sebanyak RM300,000 daripada FINAS untuk membantu menyiapkan karya berkenaan.
Nur A’minahtul Mardiah turut berkongsi bahawa tempoh tersebut menguji ketahanan dirinya sebagai penerbit, termasuk ketika berdepan masalah kewangan dan tindakan saman daripada pelabur. Kes berkenaan, menurutnya, selesai pada Jun 2026.
Selepas melalui perjalanan panjang itu, Bisikan akhirnya bakal ditayangkan di 70 pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November 2026.
Altimet turut membuat penampilan khas dalam filem ini dan berduet bersama Mimi Fly menerusi lagu runut bunyi rasmi berjudul Hujan.











